MIRI: Kerajaan memperuntuk RM69 juta untuk pembangunan fizikal Sibuti mengikut pecahan; RM50 juta naik taraf internet tanpa wayar, RM10 juta naik taraf sistem parit dan saliran Lambir, RM5 juta lagi perindahkan jambatan Bekenu.

Sementara turut diumumkan RM4 juta bagi memperbesar Masjid al-Firdaus Taman Tunku.

Berucap merasmikan Majlis Sejiwa Senada 2018 Sibuti dihadiri lebih 3,000 orang di pekarangan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sibuti, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg  berjanji memfokus membawa pembangunan lebih mapan untuk Sibuti demi masa depan generasi muda.

Mengakui mengenali Sibuti sejak 1980-an, dari jalan batu hingga jalan diturap, Abang Johari mengumum  membantu membangunkan Bukit Peninjau dengan memajukan tanah seluas 50 hektar tanah sebagai kawasan perumahan dan pertanian. 

Demi menguatkan suara di Parlimen meneruskan usaha kerajaan negeri menuntut hak Sarawak yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963, Abang Johari meminta pengundi Parlimen Sibuti menyokong calon Barisan Nasional (BN) Lukanisman Awang Sauni. 

Pada majlis tersebut, Abang Johari turut menyampaikan cek pampasan tanah dan surat hak milik tanah Kanun Tanah Negeri. 

Turut disampaikan ialah dividen Projek Kelapa Sawit Estet Mini Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak serta Biasiswa Yayasan Sarawak. –Sarawakvoice 

Foto : Page Balingian Ajau