MUKAH: Setelah tiga hari hilang, seorang lelaki yang jatuh kapal di Batang Lassa dekat sini ditemui mati lemas tengah hari semalam.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Peyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, mayat Sudhakaran Sudeep, 28 tahun, seorang warganegara India ditemui orang awam di seberang Rumah Selat di sini.

Mangsa yang bekerja di Ladang Erajaya Synergy Sdn Bhd, ditemui kira-kira tiga kilometer dari tempat beliau dilihat jatuh kapal.

“Anggota bomba serta agensi penyelamat lain yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian bertindak mengangkat mangsa dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi SAR hari ketiga kemudian ditamatkan sepenuhnya sekitar jam 1.30 tengah hari semalam,” jelasnya lagi. –Sarawakvoice