Tuesday, August 16, 2022

Chong Chieng Jen sudah mimpi jadi menteri, menang Parlimen Stampin

Secara Rawak

KUCHING: Biarpun sering ‘hilang’ daripada senarai lantikan kabinet sejak Pakatan Harapan ditubuhkan, Setiausaha Agung Kebangsaan Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Guan Eng memberi jaminan calonnya di Parlimen P196 Stampin, Chong Chieng Jen akan dilantik menteri jika menang.

Itu pun jika Pakatan Harapan dapat membentuk kerajaan selepas 9 Mei nanti.

Beliau memberi jaminan tersebut pada sesi jamuan petang di Medan Selera Stampin sebentar tadi.

Peluang Chieng Jen harus tidak dinafikan apatah lagi beliau seorang yang kanan dalam Dewan Rakyat, selain menjawat Naib Presiden DAP kebangsaan dan Pengerusi DAP serta Pakatan Harapan Sarawak.

“Jika kita menang PRU14, saya sendiri akan memberitahu Tun Mahathir (Mohamad) untuk melantik Chieng Jen dalam kabinet.

“Beliau membawa suara rakyat Sarawak dan rakyat di Parlimen Stampin harus memainkan peranan memberi kemenangan kepada beliau,” tegasnya.

Dalam kempennya, Guan Eng turut menyentuh isu GST dan peningkatan kos sara hidup rakyat.

“Kalau kita berjaya rampas Putrajaya, kita sudah pasti perlukan wakil Sabah dan Sarawak.

“Dan kita berikrar untuk hapuskan GST dalam tempoh 100 hari,” janjinya.

Chieng Jen berada dalam ‘kerusi panas’ setelah keluar dari ‘zon selesanya’ untuk bertanding di kerusi Parlimen Stampin.

Beliau akan dicabar Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Dr Sim Kui Hian.

Dinamakan pertarungan antara “dua gergasi”, ia dijangka sengit kerana kedua-duanya merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri di Parlimen tersebut.

Chieng Jen merupakan Adun Kota Sentosa manakala Kui Hian merupakan Adun Batu Kawa.

Pada PRU13, calon DAP Julian Tan Kok Pin menang di kerusi yang kini mempunyai 66,240 pemilih ini dengan majoriti 18, 670 undi. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru