Friday, August 19, 2022

Pagi ini, Abang Johari umum 31 calon kerusi Parlimen S’wak PRU14

Secara Rawak

KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak mengumumkan calonnya yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 ( PRU14) hari ini, sekitar 9 pagi.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberitahui perkara tersebut selepas menghadiri Majlis Graduasi Swinburne University of Technology Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Isnin, semalam.

Menurut beliau senarai nama calon tersebut mendapat kelulusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pusat.

Beliau berkata, untuk pilihan raya Parlimen bagi Sarawak ini, semua keputusan berkaitan calon adalah terpulang kepada Perdana Menteri.

Pada majlis tersebut, Abang Johari enggan mengulas berkaitan pemecatan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun bersama empat pemimpin Parti Rakyat Sarawak (PRS) pada hujung minggu lepas.

Pada PRU14 kali ini, BN Sarawak sekali lagi mengagihkan 31 kerusi Parlimen kepada empat parti komponen BN; Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Pada PRU13 lepas, PBB dipengerusikan Abang Johari bertanding di 14 kerusi; Petra Jaya, Santubong, Mambong (Puncak Borneo), Kota Samarahan, Batang Sadong, Betong, Batang Lupar, Igan, Mukah, Tanjong Manis, Kapit, Sibuti, Lawas dan Limbang.

Sementara, PRS bertanding di enam kerusi iaitu Sri Aman, Lubok Antu, Julau, Kanowit, Selangau dan Hulu Rajang.

PDP pula bertanding di Mas Gading, Saratok, Bintulu dan Baram.

SUPP bertanding di Bandar Kuching, Stampin, Serian, Sarikei, Lanang, Sibu dan Miri.
Pada PRU13 yang berlangsung 2013, BN Sarawak memenangi 25 kerusi Parlimen, diikuti DAP 5 kerusi dan PKR 1 kerusi. –Sarawakvoice

Gambar fail

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru