PAS sasar tawan kerusi Parlimen Batang Lupar

Haji Abdul Hadi mahu menang 40 kerusi dan jadi 'king maker' di peringkat pusat

0
13

KUCHING: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) buat kesekian kalinya yakin bahawa mereka akan mencipta sejarah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dengan memenangi kerusi pertamanya di Sarawak.

Keyakinan itu dilontar sendiri oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam.

Katanya, pihaknya optimis parti itu akan menyambar sekurang-kurangnya satu daripada lima kerusi yang ditandingi, namun seperti biasa enggan mendedahkan kerusi terbabit.

“Ia rahsia dan sebahagian dari strategi kami,”katanya.

Lima kerusi yang ditandingi parti ini ialah Parlimen Petra Jaya, Parlimen Kota Samarahan, Parlimen Batang Sadong, Parlimen Batang Lupar dan Parlimen Sibuti.

Sumber rapat parti itu bagaimanapun berkata, kerusi yang dimaksudkan ialah Parlimen Batang Lupar, apabila mereka menampilkan calon berwibawa Ustaz Wan Abdillah Wan Ahmad, yang amat disenangi penduduk setempat.

Abdul Hadi berkata, pihaknya masih mahu meletakkan calon di Sarawak pada PRU14 ini biarpun tidak pernah menang sebelum ini kerana terdapat peningkatan undi PAS dalam kalangan rakyat Sarawak berdasarkan prestasi pilihan raya lepas.

“Kita juga banyak menerima generasi baharu sebagai ahli kita, dan harus diingat, pada pilihan raya kali ini, sebanyak 40 peratus pengundi adalah anak muda yang berusia 21 hingga 41 tahun.

Merekalah yang akan menentu arah pilihan raya ini,” katanya.

Mengulas jumlah lima kerusi yang ditandingi, Abdul Hadi berkata, pihaknya menghormati kawasan di Sarawak yang tidak banyak umat Islam, selain kewujudan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang mewakili Islam dan bukan Islam.

“Kita tidak mahu pertembungan yang banyak dan mahu memperkenalkan budaya politik matang dan sejahtera,”katanya lagi.

Di peringkat nasional katanya, parti itu akan bertanding di 160 kerusi Parlimen pada pilihan raya daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen yang akan dipertandingkan.

“Kita mensasarkan memenangi sehingga 40 kerusi terbabit dan jika ini berlaku, PAS akan menjadi
‘king maker’ di antara Pakatan Harapan atau Barisan Nasional.

“Mereka perlu bergabung dengan kami bagi mendapat kerusi majoriti dan seterusnya dapat menubuhkan kerajaan pusat,”katanya.–Sarawakvoice