Friday, August 19, 2022

Cuti Thaipusam kekal sebagai cuti peristiwa – Ahmad Bashah

Secara Rawak

ALOR SETAR: Cuti Thaipusam di Kedah akan dikekalkan sebagai cuti peristiwa setiap tahun sekiranya Barisan Nasonal (BN) terus mentadbir kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dalam majlis pelancaran Manifesto BN Kedah bertemakan ‘Menerus Kemajuan, Menzahir Impian’ untuk PRU14 di Stadium Sultan Abdul Halim di sini, semalam.

Kerajaan negeri sebelum ini tidak dapat menjadikan perayaan Thaipusam sebagai cuti umum kerana telah memenuhi kuota empat cuti perayaan yang telah ditetapkan, namun sejak 2014 hari tersebut telah diumumkan sebagai cuti peristiwa.

Selain itu, katanya, BN turut akan menawarkan kuota khas Tuisyen Barakah Kedah sebanyak 150 tempat setiap tahun untuk pelajar Cina, India, dan Siam yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun depan.

“Dana khas bagi menyambut perayaan agama melibatkan ketiga-tiga kaum berkenaan turut akan diberikan selain mewujudkan kelas mempelajari Bahasa Mandarin, Tamil dan Siam bagi menggalakkan proses silang budaya, dan penguasaan bahasa kedua dan ketiga ke arah mengukuhkan lagi kefahaman interaksi antara kaum,” katanya.

Dalam usaha menegakkan syiar dan syariat Islam, BN juga berjanji meneruskan pengajian maahad tahfiz yang bermodelkan Maahad Tahfiz Sains Darul Aman di Kulim dengan menubuhkan satu lagi cawangannya di Kubang Pasu.

“Kita juga akan menawarkan Biaiswa Diraja bagi 50 pelajar Kedah menyambung pengajian peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah di universiti terkemuka di Timur Tengah melibatkan bidang agama, dengan pembiayaan sebanyak RM10 juta.”

“Pusat Latihan Imam Kebangsaan dengan kos RM120 juta juga akan dibina di daerah Yan bagi melatih imam berpotensi dari seluruh negara selain akan meluaskan Pusat Tusiyen Barakah Kedah dengan kos RM5 juta di kesemua 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Bagi golongan anak muda yang meliputi 42 peratus rakyat Kedah, Ahmad Bashah berkata BN akan membina stadium bola sepak baharu bernilai RM200 juta, menubuhkan sidang DUN Belia Kedah serta kuota 30 peratus lesen, permit dan ruang niaga di premis milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Selain itu, BN Kedah turut berhasrat menyediakan perkhidmatan bas elektrik di bandar-bandar utama melibatkan peruntukan berjumlah RM10 juta demi kemudahan pengangkutan untuk masyarakat, katanya.– BERNAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru