Saturday, May 21, 2022

Ancaman bom di hadapan bangunan pemaju Metrocity petang tadi

Secara Rawak

KUCHING: Orang ramai yang berada di sekitar kawasan Metrocity Matang, petang tadi gempar dengan penemuan satu bungkusan dipercayai bahan letupan di hadapan premis pemaju pembangunan itu.

Difahamkan, bungkusan yang mempunyai jam detik itu ditemui oleh pekerja pembersihan Dewan Bandaraya Kuching Utara, selepas solat Jumaat hari ini dan memaklumkan pihak majikannya.

Pihak majikannya pula memaklumkan kepada pengurusan bangunan, yang memanjangkan kepada pihak polis.

Pada masa yang sama, pasukan keselamatan syarikat segera meminta semua kakitangan syarikat pemaju tersebut dan premis-premis bersebelahan mengosongkan pejabat dan kedai masing-masing.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ng Ah Lek, pihaknya telah mengarahkan Unit Pemusnah Bom untuk hadir ke lokasi sejurus menerima laporan daripada Balai Polis Gita pada jam 2.05 petang.

“Turut hadir pasukan Anjing Pasukan K9.

“Pihak kita kemudian bertindak memusnahkan bungkusan tersebut menggunakan peledak khas.

“Ternyata bahan ini bukan peledak, biarpun di dalamnya ada wayar dan sebagainya.

Siasatan awal kata Ah Lek, percaya bahawa motif bungkusan seumpama bom itu bertujuan mengugut pemaju terbabit.

“Kita memandang serius akan ugutan ini, dan sedang mengumpul maklumat penuh.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 506 kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya lagi.

Sementara itu, menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii, pihaknya mengaktifkan dua jentera bomba, sebuah ambulans EMRS dan jentera Hazmat ke lokasi sejurus menerima maklumat.

“Kita khuatir berlaku perkara tidak diingini dan berada dalam keadaan bersedia sebaik bungkusan terbabit dimusnahkan.

Katanya, jentera-jentera dan anggota ini didatangkan dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya dan Tabuan Jaya. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru