SIBU: Persaingan untuk mewakili Sibu kian sengit antara Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dengan Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Parlimen Sibu merupakan antara tiga kerusi yang menjadi sasaran SUPP untuk dimenangi selepas tewas kepada DAP pada pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Malam tadi ada perhimpunan dengan kain rentang antara lain berbunyi, “No father no son”, Tolak! Bapa dan anak”, “Sibu belongs to SUPP candidate”.

Kain rentang tersebut jelas cuba menolak usaha Presiden UPP Datuk Seri Wong Soon Koh untuk menampilkan anaknya sendiri, Andrew Wong.

Di sebalik perjanjian persefahaman sebelum ini antara kedua-dua parti yang mewakili masyarakat Cina itu, apa yang dipaparkan itu menggambarkan arus bawah yang deras di kawasan terbabit.

Penganalisis politik berkata, ini kerana daripada kerusi majoriti Cina, Sibu merupakan kerusi paling cerah untuk Barisan Nasional (BN) menang.

“Jadi, tidak hairanlah kedua-dua pihak berusaha untuk mendapatkan kerusi itu,” katanya sambil menegaskan bahawa secara tradisi Parlimen Sibu ialah milik parti tertua Sarawak.

UPP ialah parti serpihan SUPP ekoran pergeseran kepemimpinan dalam parti beberapa tahun lalu.

Penganalisis percaya dalam usaha untuk berkompromi dan memastikan wujud keadaan menang-menang antara SUPP-UPP, kepemimpinan tertinggi BN mungkin akan mengambil keputusan Sibu bakal diwakili oleh SUPP manakala Lanang diwakili UPP.

Ujarnya, jika isu agihan kerusi terutama bagi parlimen Lanang dan Sibu gagal ditangani dengan berkesan, besar kemungkinan sabotaj akan berlaku di akar umbi sehingga akhirnya menjejaskan peluang BN untuk merampas balik kerusi terbabit. –Sarawakvoice