Saturday, May 21, 2022

Jambatan baharu E-mart kini dikenali Jambatan Tan Sri Dr Sulaiman Daud

Secara Rawak

KUCHING: Jambatan baharu yang menghubungkan E-mart Matang ke Stutong kini dikenali sebagai Jambatan Tan Sri Dr Sulaiman Daud.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg membuat pengumuman tersebut ketika merasmikan jambatan empat lorong ketiga yang menyeberangi Sungai Sarawak itu.

Dua jambatan lain ialah Jambatan Tun Abdul Rahman Yaakub dan Jambatan Tun Abang Salahuddin.

“Ia sebagai tanda kita mengingati orang yang telah berkhidmat dengan kita … yang telah berusaha untuk membangunkan tempat kita, termasuk Petra Jaya.

Katanya lagi, Allahyarham Tan Sri Sulaiman telah banyak berjasa kepada negara, negeri dan kawasan Parlimen ini.

“Beliau telah banyak menyumbang kepada pendidikan kita.

“Ketika menjadi Menteri Pendidikan, beliau telah membawa Unimas ke Sarawak, malah bawa UiTM ke sini.

Katanya, Tan Sri Sulaiman banyak membantu membangunkan Petra Jaya dan Santubong kerana pernah menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut.

Tan Sri Dr Sulaiman menjadi ahli politik sepenuh masa apabila menang Pilihan Raya Umum 1978 bagi kawasan Santubong.

Perdana Menteri ketika itu, Tun Hussein Onn kemudian melantik beliau sebagai Timbalan Menteri Kesihatan.

Beliau kemudian dilantik menjadi Menteri Pelajaran sebanyak dua kali iaitu 1981-1984 dan 1991-1995, selain Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1984-86), Menteri Tanah dan Pembangunan Wilayah (1986-89), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1989-1990), Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (1990-1991) dan jawatan terakhirnya sebagai Menteri Pertanian (1995-1999).

Bekas Ketua Pengakap Negara itu juga pernah menyandang Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sebelum beralih kepada Parlimen Petra Jaya, setelah proses persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Tan Sri Dr Sulaiman mendapat ijazah kedoktoran pergigian dari University of Otago, New Zealand dan menjadi doktor gigi di Sarawak dan Brunei pada tahun 1960-an.

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada jam 8.10 pagi pada 23 Mac 2010.

Sementara itu, jambatan berharga RM145 juta ini kata Abang Johari, merupakan inisiatif kerajaan dalam menyediakan jalan alternatif di kawasan tersebut.

“Ini berikutan laluan yang menghubungkan bandar raya Kuching dan Petra Jaya tidak dapat lagi menampung aliran trafik yang sesak, terutama dari kawasan Matang menuju ke bandar raya Kuching pada waktu puncak,”ujarnya.

Projek ini dilaksanakan pada April 2015 dan siap sepenuhnya pada 19 April lalu.

“Dengan adanya jambatan baharu ini, perjalanan dari Matang ke Kuching Sentral dianggarkan berkurang sebanyak 15 hingga 30 minit pada waktu puncak.

Skop projek ini merangkumi naik taraf jalan empat lorong dua hala sepanjang 1.5 kilometer serta membina jalan baru empat lorong dua hala sepanjang 2.9 kilometer dengan membina jambatan baru merentasi Sungai Sarawak sepanjang 320 meter. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru