KUALA LUMPUR: PAS menyarankan agar Pengerusi Pakatan Harapan kembali menjadi  doktor semula.

“Buka klinik dan berehat. Kalau Tuan Guru Haji Hadi (TGHH) yang berkelulusan Siyasah Syar’iyyah dikatakan tak tahu politik maka sudah tentu doktor perubatan lebih-lebih lagi tidak tahu politik,” kata Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Mokhtar Senik.

Menurutnya, Tun Mahathir  patut mengenang kembali bagaimana peranan beliau sehingga tercetusnya Peristiwa Memali.

“Tun ada dosa dengan keluarga syuhada Memali yang belum diselesaikan. Walaupun Tun ada jasa kepada negara ketika beliau menjawat jawatan Perdana Menteri. Namun kemusnahan yang dicetuskan oleh Tun juga besar,” ujarnya.

“Tun mengambil tindakan menyerang TGHH apabila gagal memujuk PAS bersama dengan Tun dalam PH. Maaf, kami sudah kenal Tun. Kami bukan parti tunggul kayu yang bodoh.

Kami kenal Tun melalui cerminan al-Quran, Hadis, kalam nasihat para Ulamak dan pengalaman,” kata Mokhtar lagi.

“Tun boleh tipu parti lain tapi tidak PAS. Sesungguhnya kami tidak merasa rugi sedikit pun kerana tidak bersama Tun dan PH. Bahkan kami sangat bersyukur kerana Allah selamatkan kami dari bersekongkol dengan manusia bernama Tun Mahathir dan PH sebuah gabungan yang sarat dengan maksiat dan mungkar hanya kerana mengejar Putrajaya,” katanya. — Sarawakvoice