Saturday, May 21, 2022

Kes jenayah seksual terhadap Kanak-kanak di Sarawak akan selesai cepat dan mudah — Rohani

Penubuhan Mahkamah JSKK di Kuching sasar enam bulan penyelesaian terhadap setiap kes

Secara Rawak

KUCHING: Penubuhan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak (Mahkamah JSKK) di negara ini jelas dapat mempercepat proses pengadilan terhadap mangsa dan pelakunya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, perkara ini terbukti apabila sejak dirasmikan pada 22 Jun hingga 28 Februari lalu, sejumlah 382 kes telah didaftarkan di Mahkamah JSKK di Putrajaya.

“Daripada jumlah itu, 314 kes telah diselesaikan, 14 kes disambung semula, 19 bicara manakala 35 kes masih dalam sebutan.

“Malah proses pengakuan bersalah menjadi semakin mudah ditangani, dengan hukuman dapat dijatuhi pada hari yang sama,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mahkamah JSKK di Kuching pagi tadi.

Ia mahkamah kedua seumpamanya selepas Putrajaya, dan yang berikutnya adalah di Kota Kinabalu.

Kabinet sebelum ini meluluskan empat mahkamah serupa bagi mempercepat kes yang berkaitan dengan jenayah seksual kanak-kanak.

Katanya, dengan adanya mahkamah tersebut, yang dilengkapi dengan kemudahan Bilik Menunggu Saksi Kanak-kanak atau Bilik Permata, proses prosiding di mahkamah menjadi semakin mudah.

Mahkamah JSJK Kuching dilengkapi dengan kemudahan CRT atau Rakaman dan Transkripsi Mahkamah selain peralatan audio visual, yang dirangkaikan dengan video-link.

Bilik Permata pula terletak berasingan, dan dihubungkan dengan bilik bicara melalui video-link tadi.

“Ini bermaksud, mangsa hanya nampak muka hakim di bilik perbicaraan, tanpa perlu memandang muka atau berhadapan dengan orang kena tuduh,” katanya.

Bilik tersebut turut direka agar mesra kanak-kanak, katanya lagi.

Sementara itu, Hakim Besar Mahkamah Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum berkata, dengan adanya kemudahan ini, kes-kes di Sabah dan Sarawak mesti diselesaikan dalam tempoh enam bulan, manakala di Semenanjung, 12 bulan.

Berdasarkan statistik, kes-kes jenayah seksual kanak-kanak yang didaftarkan di Mahkamah Negeri Sarawak sehingga Isnin lalu, adalah sebanyak 119 kes, dengan 46 daripadanya sudah diselesaikan.

Berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan Negeri Sarawak pula, sebanyak 45 kes dicatatkan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, 243 kes pada tahun lalu dan 108 kes pada tahun sebelumnya.

Turut hadir Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru