Tuesday, May 11, 2021

PAS yakin bakal buat kejutan dalam PRU-14

Mesti baca

KUALA LUMPUR: PAS bakal buat kejutan dan yakin bakal mencipta sejarah pada PRU ke 14.

Menurut  penyandang kerusi  Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, dengan calon-calon berlatarbelakangkan akademik yang baik dan profesional tarbawi berwibawa yang bekerja keras di peringkat akar umbi sejak lima  tahun lalu ditampilkan untuk kerusi-kerusi Parlimen Melayu khususnya berhadapan dengan Umno di lebih 110 kerusi Parlimen majoriti Melayu, PAS boleh membuat kejutan.

“Umno pula berhadapan dengan risiko penyokong yang dibawa lari oleh PPBM yang sudah pasti menguntungkan PAS. Bukan calang-calang pemimpin Umno yang bersama PPBM. Rafidah Aziz dan Rais Yatim adalah tokoh-tokoh berwibawa. Tiga penjuru PAS vs BN vs PH yang menguntungkan PAS berbanding Umno!,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, UMNO berhadapan dengan isu-isu ketelusan dan ketirisan yang menghantui rakyat sejak berzaman dari zaman Tun Dr Mahathir Mohamad lagi.

“Media sosial berjaya membawa mesej pembangkang sehingga ke akar umbi rakyat menerobos masuk ke Felda.Segala berita dan cerita sampai kepada mereka 24 jam sehari sejak bertahun-tahun, “ katanya.

Menurutnya, anak-anak muda yang menjadi pengundi kali pertama serta pengundi bawah umur 50 tahun mendominasi bilangan pengundi seramai hampir 15 juta.

“Mereka generasi yang terdedah dengan keterbukaan dan maklumat. Mereka berani untuk menyatakan tidak kepada kerajaan. Zaman kerajaan mengetahui segala-galanya telah berlalu,” katanya lagi.

“Semua senario ini meletakkan PAS yang mempunyai dominasi penyokong terbesar Melayu Islam selepas Umno sebagai parti yang mempunyai peluang besar pada PRU ke 14 apabila berhadapan dengan Umno dan PH secara tiga penjuru,” katanya.

Ujarnya, dengan imej bersih pimpinan PAS, dengan kekuatan jentera akar umbi PAS, dengan kekuatan idea yang rasional dan profesional dikemukakan oleh PAS, dengan gabungan kepelbagaian kepimpinan PAS antara yang berilmu agama yang tinggi, latar belakang akademik yang baik, profesional pelbagai bidang, anak muda berketrampilan dan aktivis masyarakat maka PAS sebenarnya berhak untuk menjadi pilihan utama rakyat pada PRU ke 14.

“Tinggal lagi setelah segala usaha dan strategi dilakukan, setiap ahli dan pimpinan PAS perlu berserah, bertawakkal kepada Allah agar diberikan kemenangan terbaik pada PRU ini demi menobatkan Islam dan demi memberikan kebahagiaan buat rakyat pelbagai bangsa dan agama menerusi penyelesaian Islam,” katanya. –Sarawakvoice 

Secara Rawak

Artikel Terbaru