MIRI:  Mampukah PAS mengukir sejarah di Sarawak dalam pilihan raya umum (PRU) kali ini?

Atau parti Islam itu akan berputih mata sekali lagi?

PAS, parti yang berasal dari Semenanjung semalam mengumumkan akan berusaha menggugat kedudukan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di lima kerusi.

Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofrie Jaraie  seperti dipetik Bernama berkata, parti itu akan menampilkan calon di Petra Jaya, Samarahan, Batang Sadong, Batang Lupar dan Sibuti.

“Pengumuman senarai calon dijangka dibuat di bandar Kuching pada Sabtu ini, 21 April,” katanya.

Bagi penganalisis politik, seperti pada PRU-13 dan pilihan raya negeri lalu, PAS tidak akan memenangi sebarang kerusi.

“Sukar bagi pengundi di Sarawak untuk memberi sokongan kepada sebuah parti  seperti PAS,” katanya.

Katanya, selagi PAS bertanding di kerusi yang ditandingi PBB selagi itulah parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi awang tidak akan memenangi sebarang kerusi.

“PAS harus realistik dan terima kenyataan,” tegasnya sambil menambah kawasan yang ditandingi PAS ialah kubu kuat PBB.

“Jadi bagaimana mungkin PAS dapat menang,” katanya lagi. –Sarawakvoice