Friday, October 7, 2022

Jangan perlekeh pengundi Lubok Antu: Amaran kepada James Masing

Secara Rawak

Siapa calon yang bakal ditampilkan Barisan Nasional  di Lubok Antu makin hangat diperdebatkan rakyat akar umbi. Siapa calon yang bakal diketengahkan harus mendapat restu daripada rakyat akar umbi bukan hanya mengambil kira pandangan ketua masyarakat sahaja.

Di Lubok Antu, sejarah membuktikan betapa penting isu calon kepada rakyat akar umbi yang terus mendambakan anak tempatan menjadi wakil mereka sama ada di peringkat DUN atau Parlimen. Mengimbau kembali Pilihan Raya Negeri Sarawak 2006, di DUN N.28 Engkelili (kini DUN N.33 Engkelili), Dr. Johnical Rayong Ngipa mewakili SNAP telah menang dengan majoriti 426 undi mengalahkan Johnathan Krai Pilo mewakili BN-SUPP pada masa itu.

BN tewas disebabkan faktor calon yang tidak diterima rakyat akar umbi. Isu yang ketara ketika itu ialah Dr. Johnical Rayong merupakan anak tempatan dari Skim Skrang.  

Rakyat pula menginginkan anak tempatan sebati dengan keluh kesah rakyat di DUN Engkelili. Manakala Johnathan Krai berasal dari Po Ai Sri Aman bukan di bawah naungan DUN Engkelili.

DUN Batang Ai juga pernah menyaksikan kekalahan BN disebabkan calon tidak diterima oleh rakyat akar umbi.

Pada PRN Sarawak 1991, mendiang Datuk Dublin Unting mewakili Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) menewaskan calon BN ketika itu, iaitu Mikai Mandau.

Selepas itu kedua-dua penyandang menyertai BN bagi PRN yang seterusnya untuk mengukuhkan lagi cengkeman BN di kedua-dua kawasan tersebut.

Amat jelas di sini menunjukkan faktor calon menjadi inti pati utama bagi pengundi di Lubok Antu dalam memilih wakil mereka.

Kini, ditambah dengan kematangan dalam politik, para pengundi di Lubok Antu sudah pasti tidak boleh diperlekehkan dengan meletakkan calon tanpa restu daripada rakyat akar umbi

Bagi PRU-14 ini, untuk BN, sekiranya ingin mengekalkan kemenangan di bawah lambang BN mesti mendengar rintihan rakyat akar umbi di Lubok Antu mengenai siapa calon yang boleh diterima oleh segenap lapisan peringkat umur pengundi berdaftar.            

Sejarah membuktikan bagi kedua-dua DUN dalam Parlimen Lubok Antu pernah menolak calon yang bukan anak tempatan serta pilihan suara rakyat akar umbi.

Calon yang dikenali serta sudah sebati dengan pahit jerih penduduk akar umbi pasti diterima serta boleh menang dengan selesa di Lubok nanti. Penyandang, iaitu Datuk William Nyallau yang menang dengan majoriti 4091 undi pada PRU-13 lepas pasti masih kuat serta masih diterima oleh rakyat di Lubok Antu walaupun beliau pernah mengatakan yang beliau hanya meminta sepenggal lagi pada ketika kempen PRU-13 dahulu.

Namun, di peringkat parti PRS, nama beliau tidak dicalonkan oleh parti tetapi kepemimpinan tertinggi BN sudah pasti tahu yang William Nyallau masih mendapat sokongan kuat daripada penduduk di Lubok Antu.

Justeru, sekiranya penyandang William Nyallau tidak dicalonkan semula oleh BN pada PRU-14 ini, BN harus mencalonkan seorang lagi calon pilihan akar umbi iaitu Desmond Sateng.

Beliau yang merupakan ahli PRS amat setia dan banyak berkorban kepada parti sebelum ini telah lama bergerak di peringkat bawah dan dikenali oleh majoriti pengundi berdaftar di Lubok Antu.

Kedua-dua insan ini merupakan anak jati Lubok Antu yang pasti boleh menang dengan mudah sekiranya dicalonkan oleh BN pada PRU-14 nanti.

Pengumuman calon daripada BN memang ditunggu-tunggu oleh rakyat di Lubok Antu. Siapakah calon yang bakal diketengahkan oleh BN bakal menyaksikan penerimaan serta sokongan lebih 20000 pengundi berdaftar di Lubok Antu.

Isu calon sama ada Anak tempatan atau anak jati Lubok Antu tetap menjadi keutamaan rakyat akar umbi dalam membuat pilihan.

Pengundi Lubok Antu tidak harus diperlekeh. Mereka tahu menggunakan senjata orang yang lemah. Ini merupakan peringatan pengundi Lubok Antu kepada Presiden PRS Tan Sri James Jemut Masing. –Sarawakvoice 

Penulis ialah penganalisis politik yang juga pensyarah politik di Universiti Malaysia Sarawak. Beliau banyak membuat penyelidikan tentang politik dan pilihan raya di kawasan Lubok Antu. 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru