Bersih Sabah pantau perjalanan PRU-14

0
4

KOTA KINABALU: Berikutan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Rabu lalu, Bersih Sabah akan melancarkan kempen Pemantau untuk Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14).

Bersih Sabah  bersama-sama My Move, Hijau 2.0, Sekretariat Anak Muda Sabah dan beberapa lagi  pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain akan memantau perjalanan pilihan raya di negeri Sabah. PEMANTAU ialah suatu inisiatif rakyat untuk mencegah penipuan dan kesalahan pada PRU14.

“Pemantau akan memerhatikan kelakuan SPR, parti politik, dan calon-calon sepanjang tempoh pilihan raya. Sebarang salah laku atau penipuan akan dilaporkan dan tindakan mahkamah akan diambil jika perlu,” kata Bersih Sabah dalam satu kenyataan.

Tambahnya, pasukan Pemantau akan fokus kepada sepuluh perkara  termasuk rasuah dan beli undi, penggunaan aset kerajaan, pemberian hadiah, perbelanjaan berlebihan, keganasan, intimidasi, pengundi hantu.

Bersih Sabah juga  mengingatkan kepada semua parti politik terutamanya parti daripada Barisan Nasional (BN)  yang menerajui kerajaan sebelum ini agar mematuhi prinsip demokrasi sebuah kerajaan sementara sehinggalah parti baru yang akan menerajui kerajaan negeri mahupun persekutuan dipilih selepas hari pembuangan undi.

SPR menetapkan 9 Mei sebagai hari mengundi manakala 28 April sebagai hari pencalonan.

Sebanyak 25 kerusi Parlimen dan 60 kerusi Dewan Undangan Negeri ditandingi di negeri ini. –Sarawakvoice