Tuesday, June 28, 2022

Tak dapat restu ibu, Nik Omar tidak bertanding wakili Amanah PRU14

Secara Rawak

KOTA BHARU: Tanpa mendapat restu bondanya Tuan Sabariah Tuan Ishak, Nik Omar Nik Aziz memutuskan tidak bertanding mewakili Parti Amanah Negara (Amanah) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Pengerusi Amanah Kelantan, Wan Rahim Wan Abdullah bahawa anak kedua Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sedang berunding dengan keluarganya, berpotensi menjadi calon Amanah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.

Sebelum ini, adik Nik Omar iaitu penyandang kerusi parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz menafikan abangnya itu bakal mengadakan rundingan dengan ibu serta keluarganya mahu bertanding PRU14 menjadi calon Amanah.

Sementara, dalam respons Presiden Parti Amanah Mohamad Sabu sebelum ini mengakui berita Nik Omar anak mantan menteri besar Kelantan itu menjadi calon Amanah belum disahkan kebenarannya secara rasmi.

“Dengar khabar memang begitu. Dia bersedia.

Kalau betul sah dia akan bertanding Chempakalah tempatnya,” kata Mat Sabu kepada pemberita di Subang.

Nik Omar, 53, Pengetua Maahad Darul Annuar, Pulau Melaka itu seperti dilaporkan portal Sinar Harian menjelaskan beliau mempunyai kecenderungan berpolitik hasil didikan Allahyarham ayahnya.

Bagaimanapun, menurut beliau pandangan ibu mesti menjadi keutamaan dalam setiap keputusan kehidupannya.

“Semua bergantung kepada bonda, selagi bonda tidak izin, bonda minta tidak terlibat, kita kena terima. Bonda melihat mungkin kerana berlaku pertembungan,” kata Nik Omar memetik laporan portal berkenaan.

Nik Omar mengaku beliau secara peribadi tidak suka bergaduh, sebaliknya lebih suka bersahabat dengan semua orang.

Beliau mengaku tiada masalah berjumpa dengan semua orang termasuk pimpinan Amanah.

“Mungkin pemikiran saya lain, jadi pandangan dilihat selari dengan apa yang dibawa oleh Amanah,” kata Nik Omar.

Beliau mengaku ketika ini Pas bersendirian sebaliknya Pakatan Harapan memiliki gabungan empat parti memiliki kekuatan masing-masing.

Dalam kenyataan beliau seperti dilaporkan BH Online, Nik Omar tidak menafikan hasrat beliau bertanding menggunakan tiket Amanah dengan niat memberi sumbangan kepada agama Islam.

Bagaimanapun, beliau mengaku akur pada restu ibunya.

“Saya hanya akan terbabit dalam politik jika ada ruang atau jika beliau mengizinkan,” kata Nik Omar seperti dilaporkan portal tersebut. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru