Sekali lagi Pas tegaskan tidak sokong Pakatan Harapan, tuding Dap anti-Islam

0
7

PERMATANG PAUH: Konsisten selepas keluar dari gabungan Pakatan Rakyat (PR), ketika berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Pas sekali lagi mengulang kata bahawa ia tidak akan bersama Pakatan Harapan (Harapan).

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang meletakkan alasan utama bahawa Harapan dibarisi golongan penentang Islam.

Berucap pada Program Himpunan Jentera PRU14 Pas Pulau Pinang, Hadi menganggap Dap penentang pelaksanaan syariat Islam termasuk menentang Rang Undang-Undang 355 (RUU355), menentang pelaksanaan Islam di Kelantan dan Terengganu.

Hadi juga menuding Dap sering mengungkit Perlembagaan Persekutuan berkaitan syariat Islam walaupun secara jelas perlembangaan menjamin hak umat Islam.

Hadi berkata, pada PRU14, Dap bertanding menggunakan lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertujuan mengaburi pengundi Melayu khususnya agar mengundi mereka.

Hadi malam tadi mengumumkan Ketua Pemuda Pulau Pinang Afnan Hamimi Taib Azamudden, 37, anak kepada bekas imam besar Masjid Negara Datuk Taib Azamudden Mohd Taib menjadi calon Pas bagi Parlimen Permatang Pauh.

Dengan pengumuman tersebut, menyaksikan berlaku persaingan tiga penjuru di Permatang Pauh.

Penyandang Parlimen Permatang Pauh Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail turut mempertahankan kedudukannya menentang calon Barisan Nasional (BN).

Pas pernah menguasai kerusi Permatang Pauh sejak 1969 sebelum menyerahkan kerusi itu kepada PKR pada PRU 1999.

Kerusi berkenaan pernah disandang BN pada zaman bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 1982 berada dalam kerajaan.

Pas dilihat merealisasikan gerakannya menjadikan PRU14 pertandingan tiga penjuru di banyak tempat. –Sarawakvoice