Saturday, May 21, 2022

Sarawak cadang wujudkan solar terapung, sebagai sumber tenaga alternatif — Abang Jo

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak merancang satu lagi sumber teknologi baharu untuk penjanaan tenaga, dan kali ini ia berorientasikan solar.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, beliau menawarkan syarikat pengeluar panel solar, terkemuka dunia, Longi (Kuching) Sdn Bhd untuk membangunkan teknologi tersebut.

“Saya cadangkan agar Longi membuat panel solar terapung untuk melakukan penstoran cahaya, yang kemudian ditukarkan kepada tenaga.

“Ia bukan sahaja boleh dilaksanakan di empangan-empangan di Sarawak, termasuk Bakun yang sebesar Singapura, tetapi juga di rangkaian sungai yang ada di negeri ini.

“Dengan adanya penstoran ini, kita akan ada dua sumber tenaga elektrik, iaitu berasaskan hidro dan solar,” katanya ketika merasmikan Longi (Kuching) Sdn Bhd di Taman Perindustrian Teknologi Tinggi Sama Jaya di sini pagi tadi.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Pengerusi Longi Green Energy Technology Co. Ltd, Zhong BaoShen; dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohd Morshidi Ghani.

Pengenalan teknologi ini amat bersesuaian dengan inisiatif Kerajaan Negeri yang kini memberi tumpuan untuk menjana tenaga daripada pelbagai sumber untuk kegunaan industri tempatan dan eksport.

Sarawak kini mengeksport tenaga ke Kalimantan, dan dijangka kepada Brunei Darussalam pada masa depan.

Pada majlis tersebut, beliau juga menzahirkan penghargaan kepada Longi kerana berjaya memenuhi permintaan pasaran ‘photo voltaic’  global, hingga nilai eksportnya meningkat kepada RM1.5 bilion pada tahun ini.

Beliau turut menyentuh tentang keperluan sektor pengeluaran di negeri ini menganjak kepada produksi pintar.

“Seharusnya syarikat-syarikat di sini telah mengaplikasikan penggunakan teknologi robotik dan automasi dalam pengeluaran mereka, untuk memastikan ia kekal kompetetif, dalam persekitaran perniagaan yang mencabar hari ini,” tambahnya lagi.

Abang Johari turut memberi jaminan bahawa polisi mesra perniagaan akan terus menjadi dasar Kerajaan Negeri, untuk menggalakkan pelaburan langsung asing.

Untuk rekod, negeri ini merupakan tiga yang terbaik di Malaysia, yang menawarkan iklim pelaburan yang kondusif.

Manakala sejak lima tahun lalu, nilai pelaburan asingnya telah mencecah nilai RM46.3 bilion. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru