MIRI: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tidak mudah menyerah kalah.

Datuk Dr Sim Kui Hian tetap berazam tinggi untuk merampas kembali kesemua enam kerusinya yang kini dalam genggaman pembangkang.

Pada pilihan raya umum (PRU) lalu SUPP hanya menang kerusi Parlimen Serian dan tewas di semua kerusi majoriti Cina di bandar.

Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Sibu dan Lanang dimenangi DAP, manakala  Miri dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Berucap di satu majlis SUPP di sini pada Ahad, Dr Sim  mengakui sukar memenangi kerusi berkenaan, tetapi yakin bahawa kerusi terbabit tetap dapat dimenangi dengan kerja keras.

Miri merupakan antara kerusi yang menjadi sasaran SUPP untuk diambil balik dalam PRU-14, selain Sibu dan Stampin.

Barisan Nasional (BN) menetapkan sasaran  sekurang-kurangnya 28 kerusi untuk dimenangi dalam PRU-14.

Dengan kemenangan besar, kata Presiden SUPP, akan lebih mudah bagi Sarawak mendapatkan haknya. — Sarawakvoice