Saturday, May 21, 2022

Kerajaan Sarawak kini kuasai 25 peratus ekuiti MLNG Tiga

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak sebentar tadi berjaya meningkatkan ekuiti pemilikannya dalam MLNG Tiga, daripada 10 peratus sebelum ini, kepada 25 peratus.

Pemilikan baharu ini membolehkan Kerajaan Negeri muncul pemegang saham kedua terbesar dalam syarikat tersebut, MLNG Tiga Sdn Bhd, manakala Petronas menguasai saham terbesar, sebanyak 60 peratus.

MLNG Tiga Sdn. Bhd. ditubuhkan pada 8 November 1995 untuk mengoperasi dan mengurus loji LNG ketiga di Sarawak yang terletak di Tanjung Kidurong, Bintulu.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam ucapannya memberitahu, ia adalah kejayaan bersejarah Sarawak selepas menguasai 10 peratus kepentingan dalam LNG Train 9, sebelum ini.

“Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Shell Malaysia Berhad kerana kerjasama ini.

“Kejayaan ini akan memperluaskan asas pendapatan kami, dan ia akan diteruskan dengan pelaksanaan ‘kuasa’ oleh Kerajaan Negeri, seperti yang diperuntuk oleh undang-undang bertulis negara.

“Saya akan mengumumkan pada Oktober satu lagi inisiatif yang akan membolehkan Sarawak menghasilkan lebih banyak hasil untuk pembangunannya,” katanya lagi.

Sarawak tegasnya, memerlukan dana besar untuk membiayai projek pembangunan infrastruktur dan meningkatkan kesalinghubungan fizikal di seluruh negeri.

“Sarawak sebelum ini ketinggalan dan kini memerlukan hubungan fizikal dan siber untuk mewujudkan ekosistem yang kondusif dalam menjayakan ekonomi digitalnya pada dekad yang akan datang.

Baru-baru ini katanya, beliau telah mengumumkan pembinaan jambatan untuk menghubungkan Marudi dan Miri, dan ini menelan belanja sekitar RM84 juta.

“Namun ia penting kerana menghubungkan Taman Negara Gunung Mulu dengan Miri melalui Long Terawan.

“Pada masa yang sama, negeri ini juga akan membiayai separuh kos jambatan rentas sungai terpanjang di negara ini di Batang Lupar yang akan menelan belanja sekitar RM1 bilion.

Katanya, ini adalah jenis projek yang ingin Sarawak laksanakan untuk memastikan negeri ini dapat dihubungkan secara fizikal.

“Kita perlu mencari cara dan kaedah untuk meningkatkan dana kita kerana kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan,” tegasnya lagi.

Penyerahan ekuiti itu ditandatangani oleh Setiausaha Kewangan Negeri, Datuk Seri Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Pengerusi Shell Malaysia, Datuk Ian Lo.

Turut hadir Menteri Utiliti, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Wong Soon Koh dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohd Morshidi Ghani. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru