Saturday, October 8, 2022

Jika BN menang di Pulau Pinang, Ketua Menteri bukan dari UMNO – Najib

Secara Rawak

GEORGE TOWN: Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan akan melantik ketua menteri daripada komponen Barisan Nasional (BN) selain UMNO, sekiranya mendapat mandat di Pulau Pinang pada pilihan raya umum ke-14.

Najib, yang juga pengerusi BN berkata, BN tetap menghormati prinsip perkongsian kuasa dan di Pulau Pinang, konsep yang dipegang dari dahulu itu akan diteruskan.

“Jika kita mendapat mandat, ketua menteri bukan daripada UMNO tetapi daripada parti komponen… sebab nak berlaku adil,” katanya ketika berucap pada Majlis Jamuan Malam bersama Rakyat di SMK Teluk Kumbar pada Khamis.

Najib turut melahirkan keyakinan akan berlaku perubahan yang memihak kepada BN di Pulau Pinang memandangkan rakyat negeri itu telah merasai kesusahan selepas dua penggal di bawah pemerintahan pembangkang.

“Saya buat kesimpulan ini, mungkin setelah 10 tahun berlalu, pengundi-pengundi telah boleh penilaian prestasi pembangkang di Pulau Pinang… sama ada janji-janji mereka boleh ditunaikan atau permasalahan rakyat semakin hari semakin berat,” katanya.

Najib berkata apa yang jelas, selepas 10 tahun di bawah pemerintahan DAP, masalah banjir di Pulau Pinang semakin teruk dengan berlaku banjir 120 kali dari 2013 hingga tahun lepas.

Selain itu, beliau berkata rakyat juga sukar untuk memiliki rumah berikutan rumah mewah lebih banyak dibina berbanding rumah mampu milik.

“Insya-Allah bila kita ada kuasa, kami akan bina 65,000 rumah mampu milik di Pulau Pinang dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Najib sekali lagi memberi jaminan bahawa projek tebusan tanah di Balik Pulau akan dibatalkan sekiranya BN diberi mandat di Pulau Pinang.

Beliau berkata kerajaan persekutuan sememangnya tidak bersetuju dengan projek tebusan tanah melalui kajian Impak Alam Sekitar.

“Kerajaan persekutuan tidak perlu projek tebusan tanah untuk laluan rel pantai timur (ECRL), Transit Aliran Massa (MRT) dan projek kereta api kelajuan tinggi (HSR). Jadi tak mau projek tebusan tanah, berilah sokongan padu kepada BN,” katanya.

Pada majlis itu, Najib turut merasmikan projek lampu jalan kampung di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Tenaga Nasional Bhd.– BERNAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru