Fiesta NBOS 13 – 15 April berpusat di Sarikei

0
6

KUCHING: Fiesta Strategi Lautan Biru (NBOS) berlangsung di Dewan Suarah Sarikei pada 13 hingga 15 April ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datu Jaul Samion berkata, objektif Fiesta NBOS adalah bagi memperkenal idea-idea NBOS yang dilaksana oleh kerajaan kepada rakyat setempat dan memapar kejayaan serta keberkesanan pelaksanaan program NBOS.

Selain itu jelas Jaul, ia menyediakan peluang kepada rakyat setempat untuk melibatkan diri di dalam program NBOS.

“Program ini membawa perkhidmatan agensi kerajaan kepada rakyat terutamanya luar bandar, memberi ruang kepada rakyat untuk mendekati pemimpin dan melancarkan inisiatif-inisiatif terkini menggunakan konsep NBOS.

“Sempena Fiesta NBOS, Kementerian Kewangan menyerahkan ‘mock cheque’ (sumbangan item keperluan asas kepada 100 buah isi rumah miskin tegar) kepada empat wakil penerima.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datu Jaul Samion mempengerusikan mesyuarat Fiesta Strategi Lautan Biru (NBOS) di Wisma Bapa Malaysia di Kuching

“Dilakukan juga penyerahan sumbangan kewangan untuk membiayai aktiviti lima Badan Bukan Kerajaan (NGO), penyerahan Temporary Occupation Licence (TOL) kepada tiga buah kampung, dan penyerahan bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), ” ujarnya.

Selain itu, penyerahan Sijil Ketua Masyarakat, Ketua Kaum Bahagian Sarikei, penyerahan peruntukan daripada pihak SEDC kepada usahawan di bawah Program Pembangunan Usahawan Kotej akan dilakukan pada program itu.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari dijangka merasmikan
Majlis Perasmian program Fiesta NBOS itu yang berlangsung selama tiga hari itu.

Lebih 100 agensi kerajaan akan menyertai program yang turut diserikan dengan pelbagai acara sampingan termasuk senaman sihat, pertandingan masakan, karaoke, pertandingan seni dan kebudayaan, pameran, jualan masyarakat, promosi produk dan agro bazar.

Pada masa yang sama, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) turut mengambil bahagian dengan memberikan ceramah mengenai Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Sehubungan dengan itu orang ramai dan penduduk yang berada di sekitar kawasan Sarikei diharap hadir dan memanfaatkan peluang sepanjang berlangsung program. –Sarawakvoice