Wednesday, November 30, 2022

Irmohizam: Adakah Azmin mahu lari daripada tanggungjawab sebagai MB?

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Adakah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali awal-awal sudah mahu lari dari menunaikan tanggungjawabnya sebagai Menteri Besar Selangor?

Itulah soalan yang diajukan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

Irmohizam menimbulkan persoalan tersebut berkaitan gimik Azmin yang menyerahkan kenderaan rasmi susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ‘berakhirnya tugas rasminya’ sebagai Menteri Besar.

Menurut Irmohizam, Azmin tidak boleh ‘mencuci tangan’ sebagaimana yang cuba digambarkan menerusi penyerahan kereta serta kemudahan lain sebagai Menteri Besar.

Jelas Irmohizam, menurut tafsiran undang-undang, Azmin masih lagi berperanan sebagai Menteri Besar sementara  sehinggalah kerajaan baru dibentuk.

“Seseorang ketua kerajaan sama ada Perdana Menteri atau Menteri Besar serta kabinet atau EXCO-nya masih berperanan mentadbir kerajaan untuk menguruskan hal-ehwal rutin, tanpa membabitkan dasar-dasar baru dan tambahan komitmen kewangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Maka, ujarnya, sudah seharusnya Azmin masih boleh menggunakan kemudahan yang disediakan untuk melaksanakan tanggungjawab rutin serta hal-hal utama mentadbir negeri yang masih belum selesai.

Kata Irmohizam lagi, Azmin tidak boleh mengelirukan rakyat seolah-olah EXCO Selangor telus dan tidak menggunakan kemudahan kerajaan.

“Sedangkan realiti mereka keliru dengan peranan ‘care-taker government’, dan sudah tidak keruan serta melarikan diri daripada menangani pelbagai isu tentang kehidupan rakyat!,” tegasnya. –Sarawakvoice 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru