MIRI: Sarawak dan Putrajaya perlu senada demi memastikan pembangunan negeri ini melonjak berdasarkan kestabilan politik dan perpaduan rakyat yang kuat untuk muncul sebagai negeri termaju di Malaysia menjelang 2030.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yakin rakyat Sarawak berani dan dapat melakukannya bersama pemimpin negeri ini menuju Industri 4.0.

Abang Johari pada Program Sejiwa senada di Miri, mengingatkan negeri ketika ini berada pada tahap Industri 2.0 tetapi kerajaan negeri berani melangkaui 3.0 untuk terus bertapak pada Industri 4.0.

Menurutnya, Sarawak mahu maju lebih pantas dengan terus memberi tumpuan kepada pembangunan kawasan luar bandar dan utara negeri ini melalui industri pertanian moden berasaskan teknologi dan fertigasi serta pelancongan.

Untuk maju dengan pantas, menurut Abang Johari, Sarawak kita perlu menggunakan teknologi terkini antaranya menerokai ekonomi digital selain menggunakan siber meningkatkan mutu pendidikan, memajukan pertanian serta membangunkan pengangkutan awam.

Abang Johari optimis Sarawak dapat menjadi pengeksport makanan utama pasaran dunia menjelang 2030 dengan membangunkan sumber pertanian selain berjaya menyelesaikan isu logistik mengangkut hasil pertanian dan produk makanannya untuk dipasarkan terus ke luar negara. –Sarawakvoice

Foto : mysarawak.com