Mustahil Umno beri wang kepada Pas yang mahu lawan BN pada PRU14 — Hadi

0
4

SHAH ALAM: “Umno bagi duit untuk kita lawan dia. Kita pula letak 130 calon, Pas banyak bertanding di kawasan Umno, bukannya kita lawan (kerusi) dimenangi DAP,” kata Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyangkal dakwaan Datuk Mahfuz Omar, Pas menerima wang daripada Umno

Hadi berkata mustahil bagi Umno memberi wang kepada Pas yang bertekad menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ahli Parlimen Marang itu menggesa Pas tidak perlu melayan Naib Presiden Amanah itu yang kerap mendakwa Pas menjalin kerjasama dengan Umno pada PRU14.

Sebelum ini, bekas pemimpin Pas itu, Mahfuz mendakwa tiga pemimpin Pas Terengganu mengaku menerima wang daripada pemimpin Umno.

Mahfuz mendakwa RM1 juta dimasukkan ke akaun khas, Akaun Amanah pada 21 Mac lalu dan RM1.5 juta lagi didepositkan ke akaun Jabatan Pembangunan Pas (JPP) atau Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat.

Sementara, Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan selepas menghadiri program Mega Town Hall, turut mencabar Mahfuz agar membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika dakwaan itu benar.

“Kalau dia merasakan apa yang dia katakan itu betul dan ada unsur rasuah, saya cabar buat laporan SPRM,” ujar Takiyuddin. –Sarawakvoice