Hormati undang-undang menjelang pilihan raya – Hadi

0
3

KUALA LUMPUR: Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengajak semua pihak supaya menghormati peruntukan undang-undang pilihan raya demi keamanan dan keselamatan negara menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Beliau berkata walaupun berbeza ideologi politik, ia tidak bermakna seseorang itu boleh melakukan perkara negatif hingga menyebabkan rakyat berpecah-belah.

“Kita (Pas) sudah lama bersedia. Setakat ini tidak pernah membuat salah laku dalam pilihan raya dan kita harap parti lain juga mesti konsisten dengan undang-undang pilihan raya.

“Pas telah membawa satu konsep politik baharu iaitu budaya politik matang dan sejahtera,” katanya mengulas mengenai pengumuman pembubaran Parlimen Sabtu ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini berdepan dengan cabaran partinya dibubar sementara oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), bertegas akan mencari jalan untuk bertanding.

“Hanya ini peluang untuk mencapai demokrasi,” katanya dalam sidang media pada Jumaat.

Pada Khamis, RoS mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap PPBM selain memberikannya tempoh 30 hari untuk melengkapkan butiran yang diperlukan atau berdepan pembubaran mutlak.

Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Syed Ibrahim Syed Noh berkata PKR sudah bersedia menghadapi PRU14 dan pengumuman pembubaran Parlimen telah lama dinantikan.

“PRU14 ini ialah antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN). Satu lawan satu. Prinsip itu dipegang bersama dalam Pakatan Harapan,” katanya kepada Bernama di sini.

Ketua Pemuda Amanah Mohd Sany Hamzan bagaimanapun mengakui Pakatan Harapan terkesan dengan pembubaran sementara PPBM.

“Pembubaran itu adalah antara masalah yang dihadapi Pakatan Harapan sekarang selain daripada penggunaan satu logo gabungan empat parti pembangkang pada PRU akan datang.

PKR, DAP, Amanah dan PPBM telah membentuk Pakatan Harapan pada 2015 dan secara sepakat telah meletakkan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri sekiranya mereka berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya kali ini.– BERNAMA