Tuesday, May 11, 2021

SPR: Persempadanan semula ‘tak dapat dielak’ ubah komposisi kaum

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Perubahan komposisi kaum dalam sesuatu bahagian pilihan raya bukan fokus utama dalam melaksanakan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Setiausaha Bahagian Persempadanan SPR, Mohd Shukur Khalid berkata sebaliknya, SPR memberi perhatian kepada elemen mengurangkan jurang bilangan pemilih, kemudahan urusan pentadbiran pilihan raya dan pendaftaran pemilih, pemeliharaan hubungan tempatan serta memberi ruang kepada wakil rakyat yang dilantik memberi perkhidmatan secara berkesan.

“Walaupun kesan urbanisasi berlaku sejak zaman awal kemerdekaan lagi, realitinya penempatan penduduk di kawasan bandar bergantung pada pendapatan mereka sendiri,” katanya kepada Bernama Radio semalam.

Menjawab dakwaan sesetengah pihak bahawa syor SPR menyebabkan polarisasi kaum, Shukur berkata realitinya, pelaksanaan kajian semula persempadanan yang melibatkan pemindahan Daerah Mengundi secara tidak langsung akan mengakibatkan perubahan komposisi kaum dalam sesuatu bahagian pilihan raya dan perkara ini tidak boleh dielakkan.

Usul kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 28 Mac lepas dan menerima sokongan 129 anggota Parlimen berbanding 80 yang menolak.

Laporan kajian semula persempadanan itu mengesyorkan tiada pertambahan kerusi bagi kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), bermakna kerusi Parlimen dan DUN masing-masing kekal pada 222 dan 587.

SPR juga mengesyorkan perubahan nama pada 12 kawasan Parlimen serta 28 kawasan DUN di Semenanjung Malaysia, dan kali terakhir kajian semula persempadanan itu diadakan adalah pada 2003.

Usul tersebut diluluskan di Dewan Rakyat pada 28 Mac lalu.–BERNAMA

Secara Rawak

Artikel Terbaru