Jambatan Marudi rintis laluan darat ke Mulu, kurangkan kebergantungan kepada ‘belon kontet’ — Abang Jo

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

MARUDI: Ketua Menteri Sarawak pagi ini mendedahkan bahawa laluan darat ke Mulu akan dibina setelah Jambatan Marudi siap sepenuhnya dibina.

Kata Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, jambatan yang panjangnya satu kilometer itu akan membuka pintu pelancongan ke Mulu, dengan laluan darat menghubungkan Pekan Marudi dan Long Terawan.

“Justeru tidak perlu lagi kita menggunakan ‘belon kontet’ atau pesawat kecil untuk ke destinasi pelancongan itu,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Pecah Tanah Jambatan Marudi di sini pagi ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Muda Kerajaan Tempatan, Datu Dr Pengguang Manggil dan Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau.

Foto : Jiwa Bakti

Laluan ini katanya, akan membolehkan lebih ramai pelancong berkunjung ke Tapak Warisan Dunia Unesco itu.

Cadangan pembinaan jambatan ketiga menyeberangi Batang Baram itu menelan kos RM84 dan siap direka pada tahun lalu.

Dua jambatan lain sebelum ini ialah Jambatan Asean di Miri dan Jambatan Long Lama.

Pada majlis yang sama, Abang Johari turut mengumumkan sokongan padu rakyat Sarawak terhadap Najib dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Najib katanya, telah berkunjung sebanyak 60 kali ke Sarawak, dan mengunjungi 161 lokasi di negeri ini sejak menjadi Perdana Menteri pada 2009.

Najib turut dijadualkan berada di Bakun, Belaga dan Bekenu, Miri pada hari ini sebelum berlepas kembali ke Kuala Lumpur. –Sarawakvoice

Terbaru