Antinarkotik siasat kes ketua Umno bahagian, Rizalman dikaitkan dadah — Zahid

0
6

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata polis menyiasat kes Ketua Bahagian Umno Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar.

Bercakap selepas merasmikan Minggu Halal Dunia, Zahid berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik melakukan siasatan isu Rizalman dikaitkan dengan salah guna dadah seperti dilaporkan media sebelum ini, selepas Rizalman ditahan dalam serbuan di pusat hiburan di ibu negara.

Rizalman pada pagi Rabu mengadakan sidang akhbar menafikan dakwaan beliau terlibat dengan penyalahgunaan dadah selepas ditahan di sebuah kelab hiburan di ibu negara, awal pagi Isnin lepas.

Rizalman berkata beliau ke kelab berkenaan untuk berhibur dan hanya mengambil kopi dan minuman ringan.

“Saya hanya minum kopi dan rakan-rakan saya ambil minuman ringan, tidak ada dadah, tidak ada minuman keras.

“Jadi saya pun hairan saringan (air kencing) awal adalah positif, sebab itu saya syak saya diperangkap, oleh siapa saya tidak tahu,” katanya pada sidang akhbar itu.

Rizalman juga mendakwa kejadian itu merupakan cubaan untuk menjejaskan peluang beliau menjadi calon BN bagi kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

Beliau dan sepuluh orang lagi ditahan di pusat hiburan berkenaan semasa serbuan polis pada 2 April lalu. –Sarawakvoice