PEMIMPIN Parti Amanah Negara (PAN), termasuk Presidennya Mohamad Sabu dan Pengarah Hal Ehwal Syariahnya Zolkharnain Abidin al-Abyadhi, sering mencemuh PAS kerana kononnya mengamalkan politik takfiri dan suka melabelkan pihak yang tidak bersetuju dengannya.

Tidak mereka ketahui atau mungkin mereka lupa bahawa Penasihat Umum PAN Ustaz Ahmad Awang dan Timbalan Penasihat Umum PAN Ustaz Abdul Ghani Samsudin sendiri biasa memberikan atau mengongsi label buruk kepada pihak yang mereka tidak setujui.

Berdasarkan rekod, kedua-dua Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani yang merupakan mantan Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia diketahui amat kuat mengata Tun Dr Mahathir dengan beberapa kali menegur Tun Dr Mahathir dalam isu-isu membabitkan akidah atau syariah.

Antara lainnya, Ustaz Ahmad Awang menulis, pada 10 Mei 2008, mengenai “tindakan gila kuasa yang melampau Tun Dr Mahathir (yang meminda perlembagaan mengurangkan imuniti kuasa Raja-raja) seharusnya boleh dihukum pancung oleh Raja-raja Melayu”.

Ustaz Abdul Ghani pula antara lainnya mengongsi, pada 24 September 2012, kenyataan media Teras yang menyebut kekesalan Teras dengan kenyataan Tun Dr Mahathir yang mengatakan mengikuti Sunnah dan Hadis tidak wajib untuk menentu hukum Islam sekali gus menyifatkan Tun Dr Mahathir sebagai tersasar dalam pegangan akidahnya.

Ustaz Abdul Ghani juga menulis, sambil mengongsi video Tun Dr Mahathir menyebut “Hudud tiada dalam al-Quran”, pada 3 Januari 2013, mengenai kenyataan Tun Dr Mahathir bahawa “Hudud tiada dalam al-Quran” ini dengan menyifatkannya sebagai “kenyataan salah yang perlu ditarik balik dan menggugat akidah umat Islam”.

Ustaz Abdul Ghani juga mengongsi, pada 19 Februari 2014, kenyataan media Mapim yang menyebut Tun Dr Mahathir dan Dr Kassim Ahmad sebagai mempunyai pemikiran sesat, sudah lanjut usia serta mungkin tidak mahu bertaubat dari pegangan yang sesat.

Ustaz Ahmad Awang juga menyebut, dan Ustaz Abdul Ghani mengongsinya, pada 19 Februari 2014, bahawa Tun Dr Mahathir berbohong apabila berkata para ulama di negara ini gagal melawan Dr Kassim Ahmad dengan hujah lalu melabelkannya ‘anti-hadis’.

“Boleh dihukum pancung”, “Tersasar dalam pegangan akidah”, “Penggugat akidah umat Islam”, “Mempunyai pemikiran atau pegangan sesat” dan “Pembohong” adalah label-label amat keras yang pernah diberi atau dikongsi oleh Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani.

Tun Dr Mahathir pula tidak diketahui pernah meminta maaf mahupun menarik balik pelbagai kenyataan yang menyebabkan beliau dilabel sebagai “Tersasar dalam pegangan akidah”, “Penggugat akidah umat Islam” dan “Mempunyai pemikiran atau pegangan sesat” ini.

29 Mac lalu, Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani merendahkan diri ‘mengadap’ Tun Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana sehingga, menurut catatan Ustaz Abdul Ghani, mereka sanggup menunggu giliran untuk berbuat demikian.

Berdasarkan gambar ditunjukkan dan catatan Ustaz Abdul Ghani mengenai “mengukuhkan hubungan silaturahim”, tidak logik pertemuan itu bertujuan mendesak Tun Dr Mahathir meminta maaf mahupun menarik balik pelbagai kenyataan kontroversi beliau.

Tidak diketahui Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani pernah menegur Tun Dr Mahathir, mahupun pemimpin DAP, sejak mereka dan parti mereka, PAN, bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir dan parti beliau, PPBM, mahupun DAP.

Bila Penasihat Umum dan Timbalan Penasihat Umum PAN sendiri sudah tunduk mengalah kepada Tun Dr Mahathir dalam isu-isu membabitkan akidah atau syariah maka tidak hairanlah pemimpin PAN lain seperti Hanipa Maidin boleh lepas bebas.

Penulis ialah penganalisis politik yang juga pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM).