Sepanjang bulan Mac ini terdapat tiga isu besar membabitkan kenyataan kontroversi dua pemimpin tinggi Parti Amanah Negara (PAN), iaitu Naib Presiden PAN, Husam Musa, dan Pengerusi Kanun, Hanipa Maidin.

Isu pertama  membabitkan kenyataan Husam Musa di Kuala Krai pada 3 Mac bahawa “haram undi PAS”. Isu kedua adalah membabitkan kenyataan Hanipa Maidin di Dewan Rakyat pada 7 Mac beliau “puas hati mati lawan BN”.

Isu ketiga adalah membabitkan kenyataan Hanipa Maidin di Dewan Rakyat pada 29 Mac kalau beliau tuhan beliau tidak akan jadikan atau akan hapuskan Datuk Seri Azeez Rahim.

Sepanjang wujudnya ketiga-tiga isu ini, Penasihat Umum dan Timbalan Penasihat Umum PAN, Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani Samsudin, tidak diketahui mengeluarkan kenyataan bagi menyokong atau menegur pembuat kenyataan kontroversi tersebut.

Kedua-dua pembuat kenyataan kontroversi tersebut juga tidak diketahui mengeluarkan kenyataan bagi menyatakan hasrat mereka untuk merujuk dan membincangkan kenyataan kontroversi tersebut dengan Penasihat Umum dan Timbalan Penasihat Umum PAN, khususnya selepas dikritik.

Dalam isu kenyataan Hanipa Maidin kalau beliau tuhan beliau tidak akan jadikan atau akan hapuskan Datuk Seri Azeez Rahim, Hanipa Maidin, selepas dikritik, sekadar menyatakan bahawa sokongan melalui telefon ibu beliau adalah “lebih dari mencukupi”.

Tidak dibangkit langsung oleh beliau atau mana-mana pihak lain mengenai Penasihat Umum dan Timbalan Penasihat Umum PAN seolah-olah Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani Samsudin ini tidak wujud atau mereka wujud tetapi tidak berfungsi. Wujud lagikah Penasihat Umum dan Timbalan Penasihat Umum PAN?

Penulis ialah penganalisis politik dan pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM).