Friday, December 2, 2022

Taman Tema Air Borneo Samariang dibuka hari ini

Secara Rawak

KUCHING: Taman Tema Air Borneo Samariang akan membuka tirai secara rasminya hari ini.

Projek yang dikendalikan Sentoria Group Berhad hanya 65 peratus siap, namun segmen taman tema airnya sudah boleh dibuka kepada orang ramai.

Menurut jurucakapnya, Aliason Ong, taman tema air yang pertama di Sarawak ini dijangka akan menjadi tumpuan ramai, kerana ia satu-satunya taman seumpama ini di rantau ini.

“Malah kita menjangkakan kehadiran bukan sahaja rakyat Sarawak, malah Sabah, Brunei dan Kalimantan.

“Ia destinasi santai untuk keluarga yang bukan sahaja menyeronokkan, malah pada harga yang berpatutan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Kemasukan ke taman tema air ini akan dikenakan bayaran RM38 untuk dewasa dan RM28 untuk kanak-kanak serta warga emas.

Kata Aliason, antara tarikan taman tema ini termasuklah Menara Santubong, Ombak Pantai Salak dan Pulau Kenyalang.

“Kita akan menambah baik fasiliti yang ada dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Taman tema ini merupakan sebahagian daripads Borneo Samariang Resort City yang dibangunkan di atas seluas 500 ekar.

Boleh memuatkan 2,000 ke 3,000 pengunjung pada satu-satu masa, taman tema yang ditutup setiap Selasa ini mengambil konsep Taman Tema Air Gambang, yang juga dimajukan oleh syarikat yang sama.

Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Wahap Abang Julai ketika mengunjungi taman tema ini tiga minggu lalu amat berpuas hati dengan persediaan taman tema ini menerima tetamu.

“Saya gembira kerana ia menambah baik kemudahan santai keluarga di bandar raya ini, dan menyambut baik pelaburan besar yang dilakukan.

Yang pasti, projek suburban yang menelan kos RM30 juta akan menjadi tarikan pelancongan terkini di Sarawak. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru