“Tsunami Melayu ialah retorik politik ciptaan DAP. Sasaran utama retorik itu adalah terhadap  pengundi Cina dan bukannya kepada pengundi Melayu. DAP percaya, sekiranya pengundi Cina yakin dengan andaian bahawa tsunami Melayu akan memihak kepada Pakatan Harapan (PH) semasa PRU-14, maka pengundi Cina akan terus memberi sokongan padu kepada DAP. Akhirnya, yang untung adalah DAP”.

Demikian kata sahabat saya yang berketurunan Cina yang memimpin salah sebuah badan pemikir (think tank) yang memfokuskan kepada isu yang melibatkan kepentingan strategik masyarakat Cina di Malaysia.

“Bukankah istilah tsunami ini mula diperkenalkan oleh Lim Kit Siang untuk menggambarkan tsunami pengundi Cina pada PRU12? Apabila Tun Mahathir Mohamad menyertai pakatan pembangkang, Kit Siang kembali menjaja propaganda tsunami Melayu. Kononnya orang Melayu akan berdiri bersama Mahathir dan menolak BN pada PRU14”,” katanya.

“Lim Kit Siang itukan berbangsa Cina? Apa orang Cina tahu pasal dunia dan sentimen politik orang Melayu? Dia hanya berlagak sahaja yang dia mengetahui semua hal mengenai orang Melayu,” menurut sahabat saya itu lagi. 

Beliau yang juga pemegang ijazah sarjana daripada SOAS, London memberi respons kepada soalan saya ‘adakah penyertaan Tun Mahathir bersama PH menguatkan lagi kepercayaan pengundi Cina kepada retorik tsunami Malayu?’.

Kata beliau, “ada pengundi Cina yang percaya Tun Mahathir boleh merealisasikan perkara tersebut dan mereka memetik sokongan terhadap Mahathir semasa beliau melawan Tun Abdullah Badawi pada sebelum PRU-12 yang lepas. Pengundi muda yang daripada bangsa Cina yang tidak jelas mengenai sejarah Tun Mahathir menganggap Tun Mahathir masih mempunyai pengaruh dalam masyarakat Melayu. Jadi mereka pun bersemangat apabila mendengar orang Melayu akan bangkit dan terjadinya tsunami Melayu”.

Dari sudut lain, ramai juga orang Cina yang sedar yang kerusi Parlimen yang terdiri daripada majoriti pengundi Cina hanyalah 29 sahaja daripada 222. Jika semua orang Cina yang berada di luar negara balik mengundi sekalipun, kerusi parlimen yang akan dimenangi oleh DAP tetap tidak akan bertambah.  

Antara semua kategori pengundi di Malaysia, pengundi merupakan kelompok yang boleh membuat perubahan politik kerana sebahagian besar mereka mempunyai taraf pendidikan yang tinggi. Mereka mengikuti perkembangan politik menerusi media Cina daripada dahulu. Bukan senang kelompok pengundi ini boleh ditipu dengan retorika politik.

Kepada pengundi Cina yang mengetahui latar belakang Lim Kit Siang dan Tun Mahathir, mereka ragu, tidak percaya dan tidak bersetuju dengan tindakan DAP membawa masuk Tun Mahathir ke blok politik pembangkang.

Baru-baru ini DAP mengumumkan bahawa mereka akan meletakkan Liew Chin Tong untuk menentang Datuk Wee Ka Siong di kerusi parlimen Ayer Hitam di Johor.

Langkah ini diambil dalam rangka untuk menghancurkan saki baki sokongan masyarakat Cina kepada MCA yang kini ada 7 kerusi sahaja di parlimen.

“Kepada sesetengah pengundi Cina, langkah DAP ini (termasuk beberapa tindakan yang lain) memperlihatkan bahawa DAP semakin angkuh, tamak dan manipulatif”.

Kajian yang dilakukan di negeri Johor menunjukkan bahawa sebanyak 30 peratus pengundi Cina, khususnya pengundi yang berusia 49 tahun dan ke atas telah kembali semula ke pangkuan MCA.

Ini menunjukkan bahawa pengundi Cina mulai sedar akan strategi dan propaganda yang dimainkan oleh DAP. Retorik tsunami Melayu ciptaan DAP akhirnya akan membinasakan diri mereka sendiri . –Sarawaakvoice 

Dr Asri,

Penulis ialah penganalisis politik yang juga Felo di Majlis Profesor Negara