Saturday, August 20, 2022

Kit Siang dikatakan ‘hantu’ dalam Parlimen, suara didengar bayangan tiada

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Sidang Parlimen semalam terus gamat oleh aksi Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang yang kekal berada di dalam Dewan Rakyat biarpun telah ‘digantung enam bulan’ atas usul Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said pada Rabu.

Lebih menarik, ketika Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar hendak melakukan penggulungan, Kit Siang bangun mencelah mahukan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia membuat penjelasan sama ada beliau digantung sehari atau enam bulan.

Pandikar tidak mempedulikan Kit Siang, sebaliknya membiarkan Noh meneruskan penggulungan.

Terganggu oleh celahan Kit Siang, Noh menyindir bahawa dia terdengar suara dari luar Dewan, sambil Pandikar berkata, dia tidak mendengar apa-apa.

Apabila tidak dilayan, ada kalangan ahli parlimen kerajaan yang menyuarakan suara hantu, menyebabkan Noh segera mengiya…”Ya, suara hantu!”

Situasi ini menyebabkan timbul bantahan daripada blok pembangkang.

Namun Noh bertegas bahawa waktu itu adalah ‘floor dia’ dan enggan memberi laluan untuk dikacau.

Pandikar ketika ditemui kemudian memberitahu, situasi itu berlaku kerana Kit Siang tidak memiliki etika apabila digantung oleh Dewan.

“Ini majlis mereka (Ahli Parlimen).

” Saya hanya Pengerusi. Kalau mereka ingkar, saya terpaksa buat begitu (abaikan).

Ketika isu ini tercetus pada Rabu, yang membawa kepada penggantungan Kit Siang, bermacam-macam gelaran dan tuduhan dilemparkan termasuk ‘penakut’, ‘pengecut’ dan ‘komunis’.

Ini merupakan sidang Parlimen terakhir penggal ini, sebelum Pilihan Raya Umum diadakan. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru