Saturday, May 21, 2022

LRT pertama di rantau ini menggunakan kuasa hidrogen — Abang Jo

Secara Rawak

KUCHING: Sistem Aliran Transit Ringan (LRT) yang akan dimajukan di Sarawak akan menggunakan teknologi mesra alam, iaitu kuasa hidrogen, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, ia adalah yang pertama seumpamanya di rantau ini dan amat kos efektif.

“Kuasa tujahan hidrogen ini akan terhasil melalui proses elektrolisis air, sekali gus menjadikan sumber kuasanya adalah daripada air dan stim,” jelasnya pada sidang media khas di Wisma Bapa Malaysia sebentar tadi.

Penggunaan teknologi maju berasaskan sel bahan api hidrogen ini katanya, dijangka akan ditingkatkan pada tahun akan datang.

“Tetapi yang lebih penting, ia selari dengan visi Kerajaan Sarawak untuk membangunkan ekonomi hidrogen sebagai salah satu inisiatif hijau negeri.


Katanya, LRT ini akan memiliki kelajuan 70 kilometer ke 140 kilometer sejam, dengan jarak jangkauan di antara 40 kilometer ke 800 kilometer.

“Dengan tiga gerabak yang digerakkan, ia boleh membawa sekitar 340 penumpang pada satu-satu masa.

“Pada masa yang sama, ia akan dibina di atas garisan berkembar bagi membolehkan perjalanan menjadi cepat melebihi satu gerabak,” tambahnya lagi.

Penjelasan itu mengotakan janjinya sebelum ini untuk mengumumkan laluan projek itu sekurang-kurangnya pada Mac tahun ini.

Pengenalan LRT ini juga dijangka dapat menyelesaikan isu kesesakan jalan, dan penggunaan pengangkutan awam darat efisien di ‘Kuching Raya’ yang turut melibatkan Samarahan dan Serian.

“Ketika ini, ‘Kuching Raya’ memiliki populasi seramai 908,400 penduduk, dengan tumpuan di Bahagian Kuching adalah sebanyak 700,300 orang; Samarahan 109,100 orang dan Serian, 99,000 penduduk. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru