Saturday, May 21, 2022

LRT Kuching Raya telan kos RM10.6 bilion

Akan dikendalikan oleh syarikat milik kerajaan, Sarawak Metro

Secara Rawak

KUCHING: Sistem Aliran Transit Ringan (LRT) di Kuching Raya akan dikendalikan sepenuhnya oleh sebuah syarikat baharu milik kerajaan, Sarawak Metro.

Ketua Menteri,Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, syarikat ini bukan sahaja bertanggungjawab memastikan projek perintis ini dapat disiapkan, malah memastikan ia dilaksanakan dengan jayanya.

“Kita menganggarkan kos keseluruhan projek ini sekitar RM10.6 bilion.

“Jajaran Kota Samarahan – Sungai Batu – Damai sejauh 62.4 kilometer akan menelan kos sebanyak RM4.4 bilion atau sekitar RM72 juta per kilometer.

“Laluan Serian-Senari sejauh 82 kilometer akan menelan kos RM5.4 bilion atau RM66.4 juta per kilometer.

“Manakala Laluan Penyuraian Kuching sekitar 10.8 kilometer dijangka menggunakan kos RM819 juta atau RM76.3 juta per kilometer,” katanya ketika sidang media di Wisma Bapa Malaysia sebentar tadi.

Abang Johari menjelaskan, kos di Kuching agak murah memandangkan ia menggunakan sistem tram, yang sesuai dengan navigasi bandar raya ini.

“Kita akan membiayai projek ini menerusi Bank Pembangunan Sarawak (DBOS).

“Perolehan jangka panjangnya pula akan diperolehi hasil daripada harga tambang, pembangunan hartanah di kawasan New Transit Oriented Development (TOD), yang bermaksud pembukaan kawasan baharu di sekitar stesen.

“Pada masa yang sama, kita juga akan mewujudkan persekitaran komersial di sekitar stesen, dan menggenakan sewa yang berpatutan.

“Apa yang kita lakukan ini adalah mengikut model Hong Kong,” jelasnya lagi.

“Yang penting, pelaksanaan projek ini dapat menjimatkan masa, wang ringgit dan mengurangkan penggunaan kenderaan di jalanan,” tegasnya lagi.

Peluang pekerjaan tegasnya, dapat diwujudkan dengan pembinaan tiga laluan ini melahirkan 20,919 peluang pekerjaan.

“Berdasarkan kajian kita, laluan pertama akan mewujudkan 8,679 peluang pekerjaan; laluan kedua (10,420) dan laluan ketiga (1,820). –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru