Saturday, May 21, 2022

Sarawak sediakan rumah berkualiti lebih murah, cepat siap dan mudah milik tidak lama lagi — Abang Johari

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak bakal memiliki rumah pada kadar lebih murah berbanding harga mencekik mahal pada waktu ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pengenalan rumah berasaskan sistem modular ini akan membolehkan pemaju-pemaju perumahan membina rumah pada harga yang berpatutan.

“Ini membolehkan kita membekal rumah kepada pasaran pada harga setidak-tidaknya kurang RM300 ribu atau RM250 ribu,” katanya ketika berucap sebelum upacara pecah tanah Modular System Factory Development di Taman Perindustrian Demak Laut di sini.

Projek kilang tersebut dimajukan bersama oleh Perbadanan Perumahan Sarawak (HDC), dengan kerjasama syarikat China, Foshan Conceiving Board Manacturing Co Ltd dan Smart Housing R&D Sdn Bhd.

Menurutnya lagi, inisiatif ini penting kerana menerusi teknologi ‘pasang siap’ ini, rumah bukan sahaja dapat disiapkan pada harga yang jauh lebih murah, malah cepat, iaitu dalam tempoh tiga minggu, selain tidak memerlukan tenaga kerja yang ramai.

“Saya sebelum ini ditanya tentang harga rumah yang terlalu tinggi, khususnya di Samarahan dan Kuching.

“Rumah teres harganya sekitar RM350 ribu, rumah berkembar RM700 ribu dan banglo lebih RM1 juta.

“Kalau harga ini tidak dikurangkan melalui kaedah-kaedah yang baharu maka rakyat kita mungkin susah untuk memiliki rumah,” katanya.

Kerana itulah katanya, pihaknya memformulakan pendekatan baharu dengan memperkenalkan sistem modular ini, dengan bahan-bahan pembinaan difabrikasi di kilang, sebelum dibawa dan dipasang ke tapak pembinaan.

“Teknologi yang digunakan ini boleh menahan bahan-bahan binaan ini di atas tiang bingkai yang disediakan.

“Kita menyakini teknologi dari China ini kerana ia telah terbukti berjaya di negara-negara Barat termasuk Australia.

Menurutnya lagi, sebagai Pengerusi Lembaga Perancangan Negeri (SPA), beliau telah mengubah densiti agar banyak rumah dapat dibangunkan dalam setiap ekar tanah.

“Kalau ia rumah dalam bentuk apartmen dan kondominium, ia juga boleh ditambah densitinya.

“Ini dapat menurunkan harga rumah.

Akuinya, harga rumah di Kuching agak mahal, tetapi masih dapat ruang tanah lain yang boleh digunakan untuk membina rumah pada harga yang berpatutan.

“Projek perintisnya adalah di Sungai Bedaun.

“Kita telah menambak kawasan ini dan akan dibangunkan kawasan penempatan yang dinamakan Rumah Spektra Permata.

“Ia akan mempunyai lot kampung dan rumah dibina menggunakan sistem modular ini, yang lebih murah.

Tegas Abang Johari, Sarawak tidak dapat bergantung kepada skim perumahan dari Putrajaya kerana jumlah dananya terhad.

“Mahu tidak mahu, kita terpaksa guna formula sendiri dengan menyediakan skim perumahan mampu milik dan berpatutan.

“Kita juga memperkenalkan syarikat pembiayaan kewangan di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan iaitu Mutiara Mortgage and Finance.

“Kita akan tambahkan dana Mutiara dan gunakan untuk membangunkan rumah skim selain agihkan kepada rakyat untuk membeli rumah berharga lebih RM100 ribu secara pinjaman dan bayar balik secara bulanan,” katanya lagi.

Keadaan ini tambahnya, akan dapat meningkatkan jumlah rumah dalam pasaran yang kini berjumlah lebih 60 ribu.

“Kita juga akan buka kawasan baharu apabila kita melalui pembinaan sistem aliran transit ringan (LRT).

“Transit Oriented Development ini akan membuka kawasan baharu berhampiran stesen-stesen dan ini termasuk skim perumahan,” jelasnya lagi.

“Kita ada kelebihan iaitu kita masih ada banyak tanah dan usaha pembukaan kawasan ini akan membolehkan lebih ramai rakyat memiliki rumah,” katanya lagi.

Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Profesor Dr Sim Kui Hian dan Pengerusi HDC, Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen dan Adun Demak Laut, Dr Hadzland Hipni. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru