Saturday, May 21, 2022

Abang Jo umum laluan LRT esok

Singkat dan mudahkan perjalanan Serian - Samarahan - Kuching - Damai

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan mengumumkan laluan sistem aliran transit ringan (LRT) Sarawak yang pertama di pejabatnya Tingkat 22, Wisma Bapa Malaysia pada jam 2.30 petang esok.

Menurutnya, pengumuman itu penting kerana ia membuktikan apa yang diumum sebelum ini bukan ‘omong kosong’.

” LRT ini akan melalui kawasan ini (Demak Laut), dengan salah satu stesennya, terletak di Muara Tebas.

“Dari sini juga ia akan menghubungi destinasi pelancongan di Damai, dengan salah satu hentiannya adalah di Kampung Sungai Batu, Santubong,” katanya ketika melancarkan majlis pecah tanah Modular System Factory Development di Taman Perindustrian Demak Laut di sini sebentar tadi.

Kilang tersebut dibangunkan secara usahasama oleh Perbadanan Perumahan Sarawak (HDC) dengan kerjasama Foshan Conceiving Board-Manufacturing Co Ltd dari Guangzhou, China dan syarikat tempatan, Smart Housing R&D Sdn Bhd.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, dengan jarak lebih 100 kilometer yang menghubungkan Kuching ke Serian, keretapi yang bergerak pada kelajuan sekitar 80 kilometer sejam ini akan membolehkan warga Serian dan sekitar sampai ke pusat bandar sekitar 30 ke 50 minit.

Sebelum ini, beliau membayangkan pembinaan lakuan LRT itu kelak akan melibatkan dwi barisan.

Menurut Abang Johari, kewujudan LRT ini kelak bukan sahaja akan dapat menangani kesesakan lalu lintas, malah membuka banyak projek pembangunan dan perumahan baharu.

“Ini membantu kita mengawal harga tanah dan harga rumah daripada melambung tinggi, kerana berlakunya pembukaan kawasan baharu di luar bandar.

“Kos sara hidup juga dapat ditangani kerana setiap keluarga bukan sahaja tidak perlu memiliki sehingga dua buah kenderaan, malah tidak lagi dibeban kos minyak.

“Kemuncaknya, kita hendak bangunkan sistem pengangkutan awam yang efisien dan murah serta mensejahterakan hidup rakyat,” jelasnya lagi.

Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Profesor Dr Sim Kui Hian; Adun Demak Laut, Dr Hadzland Hipni; Pengerusi HDC, Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Haji Zen; dan Pengerusi Daya Builders Sdn Bhd, Ibrahim Baki. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru