SARATOK: Seorang lelaki yang bertugas sebagai pengendali bendera lalu lintas dalam projek Lebuh Raya Pan Borneo maut selepas dirempuh oleh sebuah lori yang hilang kawalan di Kilometer 76 Jalan Sarikei-Betong dekat sini, semalam.

Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, insiden berlaku sekitar jam 11.30 pagi.

“Insiden terjadi apabila kenderaan jenis Toyota Wish yang dipandu oleh seorang petugas Hospital Sarikei yang dalam perjalanan dari Sarikei ke Kuching telah memberhentikan kenderaan kerana ditahan oleh mangsa yang bertugas sebagai pengendali bendera Pan Borneo, berikutan sebuah lori pengangkut tanah hendak melakukan pergerakan.

Ketika itu kata Naga Chabu, sebuah lori lain yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 35 tahun, datang dari arah belakang tanpa menyedari kereta di hadapannya berhenti.

“Dia kemudian cuba mengelak pertembungan dengan kereta berkenaan dengan membelok ke kiri jalan, namun menggesel kereta Wish tersebut sebelum merempuh mangsa yang berada di tempatnya.

Akibat rempuhan itu, katanya mangsa telah terjatuh dan dikejarkan ke Hospital Saratok untuk rawatan segera.

“Bagaimanapun sekitar jam 1.10 petang, mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di wad kecemasan hospital berkenaan.

Identiti mangsa kemudian dikenal pasti sebagai Lidam Guang, 54 tahun dari Rumah Dana, Nanga Malong, dekat sini.

“Pemandu lori yang berasal dari Jalan Orkid dekat sini telah ditahan dan dirakamkan percakapan,” katanya lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Sarawakvoice