PAS hargai permohonan maaf Sinar Harian

0
6

KUALA LUMPUR: PAS berharap agar salah lapor  yang dilakukan Sinar Harian tidak lagi berulang pada masa hadapan kerana ia bakal mengundang fitnah dan seterusnya menghilangkan rasa hormat serta kepercayaan awam kepada kewibawaan akhbar terbabit yang meletakkan tag linenya “Telus dan Tulus”, kata Ketua Penerangannya.

Menurut Nasrudin Hassan, PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam senantiasa bersikap terbuka dan mesra media.

Katanya, langkah  Sinar Harian mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada Presiden PAS Datuk Seri  Abdul Hadi Awang atas salah lapor pihak wartawannya daripada kenyataan sebenar beliau sangat dihargai dan dihormati.

“Pihak kami senantiasa ingin memperbaiki dan memperbaharui hubungan baik dengan semua pihak media selama mana media tersebut mematuhi etika kewartawanan yang tinggi dan akhlak pemberitaan yang baik,” katanya dalam satu kenyataan.

“Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang diamalkan oleh PAS senantiasa berdiri di atas pendekatan hujah dan justifikasi. Justeru, tidak ada apa yang perlu disembunyikan. Cuma isunya, media mestilah juga berdiri di atas prinsip bebas dan telus,” ujarnya.

Kata Nasrudin, realitinya  Abdul Hadi adalah antara individu yang awal mendesak kerajaan supaya isu 1MDB ini ditangani dengan satu siasatan yang telus dan adil serta mengingatkan kerajaan mengenai kesan ke atas rakyat ekoran isu 1MDB ini.

Tambahnya, bermula  9 Mei 2015, menerusi kenyataan media,  Presiden telah mendesak supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi penjelasan kepada Ahli Parlimen dan bentang hasil siasatan terperinci terhadap audit kewangan 1MDB, serta melahirkan rasa kecewa apabila kerajaan gagal memberikan penjelasan. — Sarawakvoice