KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mewarisikualiti bekas perdana menteri sebelumnya.

“Najib seolah-olah mewarisi kesabaran Tun Abdullah Ahmad Badawi, karisma Anwar Ibrahim, ketegasan Tun Hussein Onn dan kelicikan serta kebijaksanaan ayahandanya, Tun Razak,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah Annuar lagi, pencapaian Najib dalam tempoh sembilan tahun pentabirannya juga mencipta legasi lebih baik berbanding 22 tahun pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tambah Ahli Parlimen Ketereh itu, Najib sangat cekal dan komited dengan visi dan agenda transformasinya untuk membawa pembangunan kepada rakyat.

“Lihat saja Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2017 yang memaklumkan Malaysia menghampiri status negara berpendapatan tinggi,” ujarnya.

“Pastinya Dr Mahathir sendiri mengakui bahawa anak didiknya, Najib ternyata muncul lebih baik daripada yang beliau sangka,” katanya.

Menurut Annuar, antara pencapaian Najib adalah mewujudkan perpaduan nasional yang utuh, hubungan dengan istana yang sangat baik, rating ekonomi yang lebih bagus, hubungan diplomatik yang jauh lebih terserlah, rezab negara yg hampir lima kali lebih tinggi serta KDNK yang jauh lebih berkembang.

Najib, tambah Annuar, lebih kreatif dalam menyusun semula subsidi agar lebih bersasar, meningkatkan sentuhan rakyat dengan pelbagai bantuan, menyantuni rakyat Sabah dan Sarawak dengan lebih komitmen, dan mentransformasi Pantai Timur dengan lebih berkeyakinan. — Sarawakvoice