Saturday, May 21, 2022

Abang Jo tempelak Zaid Ibrahim, istilahnya seperti katak

Secara Rawak

KUCHING: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak hari ini menempelak ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP), Datuk Zaid Ibrahim, yang memandang rendah kejayaan Sarawak di bawah BN, menerusi blognya yang bertajuk ‘Sarawak selepas 50 tahun’.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebaliknya menegaskan, tindakan Zaid untuk ‘mengajar’ penduduk ini sebagai mengarut.

“Hari ini ada seorang pemimpin pembangkang hendak mengajar kita.

” Siapa dia hendak mengajar kita?” katanya ketika melancar Jentera Pemuda BN Sarawak di Padang Slpas, dekat sini petang semalam.

Beliau malah menyifatkan Zaid seumpama katak yang gemar melompat parti.

“Kamu (Zaid) katak yang melompat dari parti ke parti ke parti. Melompat-lompat.

“Walaupun beliau peguam, kita ada parti asal Sarawak sendiri (oleh itu tidak perlu masuk campur hal Sarawak). Kita ada maruah kita sendiri,” tegasnya.

Menurutnya, orang seperti Zaid jangan cuba untuk mengajar orang Sarawak.

“Kita ada digniti. Kita tahu apa yang perlu dilakukan.

“Kami boleh bekerja dengan Datuk Seri Najib (Tun Razak). Kami akan transformasikan Sarawak. Kami akan transformasikan Malaysia,” katanya.

Menurutnya, BN Sarawak akan tetap tuntut hak negeri ini balik.

” Yang pembangkang buat..cakap sahaja. Kita ada kuasa menuntut. Kita mahu hak kita balik. Tidak lebih tidak kurang.

Sarawak katanya, insya-Allah akan menjadi negeri maju pada tahun 2030.

“Saya yakin ia akan dapat dicapai kerana kita ada orang muda untuk masa depan kita.

“Oleh itu, apabila Pengerusi BN Pusat memukul gong pilihan raya kelak, kita akan berjuang habis-habisan.

” Seperti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), kita akan rampas balik kerusi dari embangkang

Sarawak katanya, ada masa depan yang cerah.

“Negeri Sarawak ada sumber … negeri Sarawak berkehendakkan teknologi.

“Orang muda ada teknologi…orang muda ada masa depan yang cerah dan perlukan kerajaan stabil.

“Oleh itu, mulai tengah hari ini kita akan keluar, kita akan gerak, kita bawa bendera BN dan kita berjuang untuk kemenangan serta cipta kerajaan yang stabil,” tambahnya sambil menamakan Timbalan Pengerusi BN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebagai “panglima” yang akan menyelaras operasi pilihan raya kali ini, dengan sokongan semua pemimpin komponen BN Sarawak.

Dengan adanya pasukan yang kuat, jelasnya, apabila BN letakkan calon, semua pihak akan bekerja kuat, beri sokongan dan dapat mencipta kemenangan yang besar.

Pada majlis yang sama, beliau mengulangi komitmen BN Sarawak untuk menang tambahan tiga lagi kerusi Parlimen berbanding 25 yang ada sekarang. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru