Dalam wawancara dengan akhbar Sinar Harian semalam, Dr Maszlee Malik, selaku pensyarah di Jabatan Sains Politik Kuliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), menyebut betapa kemasukan beliau ke dalam PPBM adalah bertujuan untuk membolehkan beliau “menterjemahkan idealisme ke alam realiti”,

“mengisi ruang intelektualisme di dalam parti” dan “menjadi elemen intelektualisme di dalam PPBM untuk memastikan parti tersebut terus lestari di masa hadapan” dan “menyumbang kepada parti dalam kapasiti (beliau) sebagai seorang pengkaji yang berada dalam dunia ilmiah”.

Bagus matlamat Dr Maszlee ini, cuma sayangnya seorang intelektual mestilah bercakap beralaskan fakta.

Menyalahkan PAS sebagai punca kekalahan itu kerana kononnya “tidak dilihat dan tidak diyakini oleh majoriti kaum Melayu berupaya menjamin survival Melayu Islam jika PR menjadi kerajaan baru”, sekali gus menyatakan bahawa majoriti kaum Melayu tidak menyertai gelombang Tsunami perubahan dalam PRU-13 kerana termakan momokan BN bahawa jika PR menang DAP akan berkuasa, tanpa memberi data adalah tidak patut.

Begitu juga dengan kenyataan beliau bahawa PRU 14 kali ini agak berbeza dengan kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga kemunculan PPBM yang kononnya menyebabkan “momokan bahawa DAP akan berkuasa jika Pakatan Harapan (PH) menang PRU tidak lagi menjadi mantra keramat” yang beliau buat tanpa menyandarkan kepada sebarang fakta.

Foto : FB Dr Maszlee Malik

Macam mana Dr Maszlee boleh menyatakan “momokan bahawa DAP akan berkuasa jika PH menang PRU tidak lagi menjadi mantra keramat” apabila hasil kajian setebal 49 muka oleh seorang lagi intelektual muda PPBM, Wan Saiful Wan Jan, yang baru diterbitkan awal tahun ini menunjukkan bahawa kebimbangan ini menjadi semakin kuat.

Mengikut hasil kajian Wan Saiful ini:

– 85 peratus daripada masyarakat Melayu Johor tidak menyenangi DAP.
– 71 peratus daripada masyarakat Melayu Johor berpendapat DAP adalah anti Melayu dan anti Islam.
– 62 peratus daripada masyarakat Melayu Johor berpendapat PH adalah dikuasai oleh DAP.

Nampaknya Dr Maszlee tidak mendengar nasihat rakan beliau, Dr MAZA, supaya ahli akademik hendaklah “jujur, berakhlak dan berdisiplin”.

Atau apakah Dr Maszlee mahu memperlekehkan tahap keintelektuan dan hasil kajian berbulan-bulan rakan beliau dalam PPBM, Wan Saiful? –Sarawakvoice

Dr Kamarul Zaman Yusoff

Penulis ialah penganalisis politik yang juga pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM).