Saturday, May 21, 2022

Pemuda BN Sarawak sedia ‘langgar’ pembangkang menjelang PRU14 – Rentap

Secara Rawak

KUCHING: Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak kini telah siap siaga untuk ‘bertempur’ dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Ketuanya, Gerald Rentap Jabu berkata, sebagai barisan hadapan parti, pergerakan itu bersedia untuk meneruskan perjuangan pembangunan, kemajuan dan yang paling penting, menyalakan semangat dan harapan yang lebih baik untuk rakyat Sarawak menerusi BN.

“Transformasi Ekonomi Digital yang menjadi tonggak pembangunan negeri Sarawak, di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan terus menjadi pedoman kami.

“Pemuda dan belia-belia ini yang akan menjadi penggerak dan pewaris wawasan Ketua Menteri ini.

“Malah kita mengharapkan melalui ekonomi digital, kita akan dapat memperolehi ilmu pengetahuan, peluang peningkatan dari segi sosioekonomi dan pendapatan lebih tinggi,” katanya ketika memyampaikan aluan sempena pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda BN Sarawak di Padang Slpas di sini sebentar tadi.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi BN Negeri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Turut hadir Timbalan Pengerusi BN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Pada masa yang sama tegas Adun Layar itu lagi, Armada Pemuda BN amat menyokong penuh pendekatan dan polisi Ketua Menteri untuk mengambil balik kuasa dan hak yang telah terhakis selama ini seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Kami yakin dan percaya barisan kepimpinan BN yang diketuai Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Abang Johari yang telah bersetuju dan sefahaman untuk membawa kuasa yang terhakis ini balik ke Sarawak.

“Persetujuan ikhlas ini adalah kerana kedua-duanya adalah anak kepada bapa-bapa kemerdekaan Malaysia.

“Perjuangan Allahyarham Tun Abdul Razak dan Tun Abang Haji Openg adalah untuk menyatupadukan semua rakyat Semenanjung, Sabah dan Sarawak dan ini telah terhasil.

“Tentu sekali hasrat bapa-bapa mereka itu menurun ke dalam jiwa dan naluri anak-anak mereka, pemimpin kita hari ini,” katanya.

Pemuda BN Sarawak kata Rentap, juga sanggup berjuang untuk mempertahankan hak dan maruah rakyat Sarawak.

“Kami Pemuda BN Sarawak memang telah bersedia untuk menghadapi apa jua cabaran dan kami telah mengaktifkan bilik gerakan di semua kawasan.

“Kami menyambut baik visi transformasi ekonomi digital kerana pandangan jauh ini menitikberatkan masa depan belia Sarawak.

Tegasnya, menjelang PRU14, Pemuda BN akan mematahkan serangan-serangan pembangkang yang mengelirukan rakyat.

“Kami akan berganding bahu dengan bapa dan wanita, bekerjasama untuk mengekalkan perpaduan dan perjuangan BN.

“Dan kami berjanji akan bekerja keras mengekalkan kemenangan BN Sarawak.

Pemuda BN juga laungnya, mahu pastikan parti itu menang semua kerusi di Sarawak.

“Dan kami mahu Datuk Patinggi Ketua Menteri memperoleh majoriti, mandat yang lebih besar agar dapat bersuara lebih nyaring untuk Sarawak.

“Ini adalah harapan kita dan kami yakin kali ini adalah masa kita untuk berjuang dan menentukan kemenangan BN Sarawak.

“YAB Ketua Menteri…berikanlah arahan. Kami Pemuda BN Sarawak akan ‘serang’ sampai berjaya,” jelasnya lagi. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru