Saturday, December 3, 2022

MP PAS: Semua pihak wajar hargai sumbangan, jasa polis

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen PAS (Kuala Nerus) mengucapkan Selamat Hari Polis ke-211 kepada semua anggota polis dan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri, sejak penubuhannya sehingga kini, kerana tugasan pasukan inilah, dengan izin Allah, keselamatan dan keamanan rakyat dan negara dalam segenap sudut sentiasa berada dalam keadaan terkawal.

“Sewajarnya semua pihak memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada pasukan ini dan setiap anggotanya sesuai dengan peranan dan sumbangan yang telah mereka curahkan,” katanya dalam satu kenyataan.

“Kebajikan mereka terutamanya pada aspek penyediaan rumah kediaman yang selesa dengan persekitaran yang kondusif dan pemberian gaji yang setimpal dengan tugasan mereka dan kos sara hidup semasa mestilah diberikan lebih perhatian oleh kerajaan,”’ katanya.

Ujarnya, isu penyelenggaraan berek polis dan tuntutan bayaran oleh anggota berpangkat rendah terutamanya mesti disegerakan.

“Peluang untuk mendapatkan kediaman selepas pencen bagi mereka yang tidak mempunyai kediaman boleh menjadi sebahagian agenda kerajaan sebagai hadiah buat mereka,” tambahnya.

“Saya mendoakan semua anggota PDRM sentiasa hidup bahagia bersama ahli keluarga masing-masing, dipermudahkan urusan dan dimurahkan rezeki oleh Allah SWT,” katanya. –Sarawakvoice

Foto : ismaweb.net

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru