50 juta data Facebook bocor: Zuckerberg beli iklan di akhbar Britain, mohon maaf

0
7

LONDON: Seriusnya isu data 50 juta pengguna bocor sehingga Facebook berdepan kerugian dalam nilai pasaran AS$50 bilion (sekitar RM200 bilion).

Hal ini memaksa Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Facebook Inc. Mark Zuckerberg pada Ahad, membeli iklan satu halaman di beberapa akhbar Britain.

Reuters melaporkan, iklan tersebut mengandungi permohonan maaf berhubung kebocoran data 50 juta pengguna Facebook yang jatuh ke tangan firma perunding politik Cambridge Analytica.

Iklan bertulis hitam dengan logo Facebook bersaiz kecil dengan latar belakang putih disiarkan di edisi Ahad akhbar Britain termasuk The Observer.

Iklan itu berbunyi: “Kami mempunyai tanggungjawab melindungi maklumat anda. Jika kami gagal, kami tidak layak melakukannya,” dan ditandatangani oleh Zuckerberg

Zuckerberg apologi

“Ini pelanggaran kepercayaan. Saya memohon maaf kami tidak berusaha lebih (untuk melindungi maklumat pengguna) pada masa itu.”

Sebelum ini, Cambridge Analytica dikatakan secara salah mengakses maklumat pengguna Facebook yang didakwa memberi kemenangan kepada Donald Trump pada Pilihan Raya presiden AS 2016.

Sebelum ini pada 2016, bilionair itu turut tegas menafikan Facebook bertanggungjawab menyebarkan berita bohong sehingga membawa kepada kemenangan Donald Trump sebagai presiden AS.

Berkaitan isu data bocor, kini Facebook berdepan peningkatan penelitian kerajaan di AS dan Eropah.

Pembuat dasar dari kedua-dua parti Demokrat dan Republikan di Washington minggu lepas, mendesak bilionair itu memberi penjelasan berkaitan isu tersebut di hadapan Kongres.
Ketika para pelabur menjual saham Facebook, hashtag kempen #DeleteFacebook kekal popular berada atas talian. –Sarawakvoice