Friday, December 2, 2022

Tiada ancaman keselamatan menjelang PRU14 di Sarawak – Dzuraidi

Secara Rawak

KUCHING: Polis Sarawak masih mengumpul maklumat risikan terhadap individu yang berpotensi menimbulkan ancaman keselamatan dan menimbulkan huru-hara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Pahlawan Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, bagaimanapun setakat ini, tiada individu terbabit yang telah dikenal pasti di negeri ini.

Ketua Polis Negara,Tan Sri Fuzi Harun sebelum ini mengesahkan bahawa terdapat lebih seribu individu yang berpotensi mengganggu-gugat proses demokrasi itu telah dikenal pasti oleh pihak polis.

Sementara itu, mengenai persediaan PRU14, beliau berkata, semua elemen Polis Sarawak termasuk di peringkat Daerah dan Balai telah bersedia untuk melaksanakan hari penting itu.

“Saya sendiri telah turun ke kawasan pedalaman untuk memastikan pegawai-pegawai dan anggota di daerah tidak ketinggalan dalam menjalankan tanggungjawab dengan penuh komitmen semasa hari tersebut.

“Hasil lawatan ke kawasan luar bandar ini, saya dapati mereka telah siap siaga sepenuhnya untuk melaksanakan peranan nanti.

“Ini termasuk dari aspek penggunaan aset balai untuk simpanan dokumen dan peralatan pilihan raya,” jelasnya ketika ditemui pada Upacara Perbarisan Sempena Hari Polis ke-211 di Ibu Pejabat Polis Kontijen Negeri di Jalan Badruddin di sini.

Untuk rekod, sejumlah 18 kursus dan latihan telah dilaksanakan oleh Polis Sarawak sebagai persediaan menghadapi PRU14.

Sementara itu, dalam upacara itu, seramai 40 pegawai, anggota dan orang awam telah menerima sijil penghargaan Pesuruhjaya Polis Sarawak. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru