Tuesday, August 16, 2022

Malaysia tarik RM1.8 trilion pelaburan 2011-2017

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya menarik pelaburan sebanyak RM1.8 trilion antara 2011-2017 yang diperoleh dibawah Program Transformasi Negara (NTP), melebihi sasaran awal pelan tindakan berkenaan sebanyak RM1.4 trilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata pencapaian hebat itu didorong oleh pelaburan swasta yang ketara direalisasikan pada tempoh itu, yang dicerminkan menjadi kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR).

“Pada tahun 2010, CAGR dari segi pelaburan swasta berada pada kadar tujuh peratus sahaja tetapi melonjak kepada 11 peratus selepas (Malaysia) memulakan Dasar Transformasi Negara dalam tempoh tujuh tahun,” katanya sebelum melancarkan Laporan Tahunan 2017 NTP, di sini, semalam.

Najib, yang juga Menteri Kewangan turut menepis persepsi bahawa pelaburan ke negara ini menurun disebabkan oleh isu 1MDB dan berkata, pelaburan di sektor swasta berkembang dengan sangat hebat berbanding pelaburan di sektor awam.

Katanya, nisbah pelaburan antara sektor swasta dan sektor awam pada masa ini adalah 68:32 berbanding 45:54 sebelum NTP dilaksanakan. “Sektor swasta pada masa ini menjadi jentera pertumbuhan (kepada ekonomi Malaysia).” tambahnya. NTP dilancarkan pada 2009 bagi melaksanakan reformasi sosio ekonomi dan mentransformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi. — BERNAMA

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru