KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) di Sarawak kini terasa ‘bahang kekalahan’ susulan usaha dua parti ‘paling degil’ dalam Barisan Nasional (BN) Sarawak menyelesaikan persengketaan di antara mereka.

Akur akan teguran bertalu Pengerusi BN Pusat, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Pengerusi BN Negeri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, kedua-dua parti itu petang tadi menamatkan saingan melalui satu perjanjian persefahaman (MoU).

Malah buat pertama kalinya, wakil Parti Rakyat Bersatu (UPP) kembali ke meja mesyuarat BN Sarawak, selepas Pilihan Raya Negeri.2016 yang lalu.

“Ia merupakan permulaan yang baik untuk mereka bersatu dari semua segi.

“Ini termasuk kembali menjadi parti yang kuat, seterusnya menampilkan calon daripada satu parti, dan dalam konteks ini calon BN-SUPP pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14),” kata Abang Johari selepas mempengerusikan Mesyuarat BN Negeri di Ibu Pejabat PBB di sini petang tadi.

Mesyuarat tersebut diadakan sebaik sahaja Abang Johari pulang daripada Mesyuarat BN Pusat yang dipengerusikan Najib di Kuala Lumpur pada sebelah paginya.

Pada mesyuarat peringkat nasional tersebut, Abang Johari turut membayangkan kemelut yang melanda BN Sarawak akan tiba ke garis penamat.

Pada minggu lalu, isu ‘calon langsung’ turut diselesaikan, dengan penyandang tunggal ‘persona non grata’ dalam BN dari Parlimen Saratok, Tan Sri William Mawan Ikom mengumumkan beliau merupakan ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Sementara itu, memetik kandungan persefahaman tersebut, sebuah Jawatankuasa Perundingan telah ditubuhkan melibatkan Presiden dan Setiausaha Agung kedua-dua parti.

“Jawatankuasa ini diberi mandat untuk merangka usaha penyatuan, serta memastikan komunikasi yang berterusan, untuk mewujudkan kesalingpercayaan dan rasa hormat, serta mengelakkan berlakunya salah faham.

“Kedua-dua parti juga faham dan bersetuju bahawa banyak perkara perlu dibincang dan diperhalusi secara bersama dengan penuh rasa hormat dan keyakinan di dalam jawatankuasa ini sebelum usaha penyatuan ini dapat dilaksanakan.”

Dengan adanya persefahaman ini, menjadi harapan BN Sarawak agar tidak wujud lagi elemen sabotaj, manakala keyakinan pengundi Cina terhadap fungsi dan peranan parti SUPP kembali pulih. — Sarawakvoice