Thursday, May 19, 2022

Rogol dua remaja OKU di dalam stor sejak 2016, pesara tentera dari Bau bakal mereput 80 tahun di penjara

Secara Rawak

KUCHING: ‘Jiwa kacau’ dan ‘nafsu tidak terkawal’ menjadikan seorang pesara tentera bakal mereput di penjara, setelah dijatuhi hukuman 80 tahun penjara dan 18 kali sebatan oleh Mahkamah Seksyen Kuching pagi tadi.

Hukuman yang berlangsung berasingan itu diputuskan oleh Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad, setelah tertuduh yang kini bertugas sebagai tukang kebun sebuah sekolah khas di Kampung Grogo, Bau mengaku salah terhadap enam kesalahan yang dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Motis Juwel, 56 tahun dituduh melakukan perbuatan di luar batas kemanusiaan, dengan memperkosa dua remaja kelainan upaya berusia 14 tahun di dalam bilik stor, sekolah tempatnya bertugas sejak Mei 2016, dan kali terakhir 7 Mac lalu.

Enam pertuduhan tersebut dibacakan di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017.

Untuk dua daripada pertuduhan di atas, lelaki ini dihukum penjara 10 tahun, manakala untuk empat pertuduhan lain, dia bakal menghuni tirai besi selama 15 tahun, selain tiga sebatan untuk setiap pertuduhan.

Mahkamah turut mengeluarkan arahan bertulis kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk memberi khidmat kaunseling kepada dua mangsa terbabit.

Tertuduh ditahan di rumahnya di Kampung Opar pada 16 Mac lalu, setelah mangsa tidak tahan diperlaku seperti binatang lalu mendedahkan ‘rahsia besar’ itu kepada gurunya.

Lanjutan aduan tersebut, guru terbabit segera membuat laporan polis.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Haresh Prakash, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru